I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday 27 March 2011

Kesalahan Kata Hubung

KONSEP KESALAHAN BAHASA

Umumnya, kesalahan bahasa terutama dalam penggunaan kata hubung ini masih berlaku. Kesalahan ini biasanya terjadi sebagai akibat tidak memahami cara menggunakan kata hubung dengan tepat dalam membentuk ayat. Konsep kata hubung juga tidak difahami sepenuhnya. Ada sesetengah pihak menganggap bahawa kata hubung ini tidak penting di ketahui dan boleh digunakan apa-apa sahaja. Oleh itu, berikut adalah kesalahan penggunaan kata hubung yang sering digunakan dalam membina ayat.

1.1 Kata tanya seperti kata bila dijadikan sebagai kata hubung dalam sesebuah ayat.

Perkataan bila tidak boleh digunakan sebagai kata hubung dalam membentuk sesebuah ayat kerana perkataan itu merupakan kata tanya. Ahli bahasa di Malaysia yang mengatakan perkataan bila tidak boleh dijadikan sebagai kata hubung. Sesetengah orang dalam membuat ayat, ada yang menggantikan perkataan apabila yang merupakan kata hubung yang betul ditukar sebagai perkataan bila. Secara langsung, ayat tersebut akan menjadi salah. Hal ini demikian kerana, kata tanya ialah perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu dan untuk mendapatkan jawapan. Perkataan bila dijadikan kata hubung adalah seperti berikut:

(a) *Majlis perasmian kecemerlangan akan dimulakan bila tetamu yang dijemput telah hadir.
(b) Perasmian kecemerlangan akan dimulakan apabila tetamu yang dijemput telah hadir.

(a) * Adik menangis bila berasa takut.
(b) Adik menangis apabila berasa takut.

Di Indonesia, hampir semua ahli bahasa menggolongkan kata bila ke dalam golongan kata penghubung tetapi hanya Slametmuljana (1969:207) dan Sultan Muhammad Zain (1958:107) ada memberikan contoh penggunaannya.

(a) Bila ada kesempatan, datanglah ke rumah saya.
(b) Ia baru menjawab bila ditanya.

1.2 Kata nama dijadikan sebagai kata hubung seperti kata sebab.

Kata sebab tergolong dalam kelas kata nama dan tidak sepatutnya dijadikan sebagai kata hubung. Kata hubung yang sesuai digantikan ialah penggunaan kata kerana. Kata sebabboleh digunakan tetapi perlu disertai dengan kata sendi iaitu oleh lalu menjadi oleh sebab. Kata kerana pula tidak boleh digabungkan dengan kata oleh lalu menjadi oleh keranadisebabkan kata kerana memang merupakan kata hubung. Selain itu, kata oleh keranajuga tidak boleh dijadikan sebagai kata hubung di awal ayat kerana kata tersebut tidak terdapat dalam Bahasa Melayu sebaliknya menggunakan kata oleh sebab. Contohnya :

(a) * Ahmad sakit kaki sebab terpijak paku.
(b) Ahmad sakit kaki kerana terpijak paku.

(a) * Aisyah tidak ke sekolah selama dua hari sebab demam.
(b) Aisyah tidak ke sekolah selama dua hari oleh sebab demam.

(a) * Adilah terperanjat oleh kerana ternampak hantu.
(b) Adilah terperanjat kerana ternampak hantu.

(a) * Oleh kerana demam panas, Fairuz tidak pergi ke sekolah.
(b) Oleh sebab demam panas, Fairuz tidak pergi ke sekolah.

1.3 Kata hubung dan digunakan dua kali atau lebih dalam satu ayat untuk tujuan yang sama.

Dalam satu ayat, kata hubung dan tidak boleh digunakan secara berulang atau lebih untuk tujuan yang sama. Kata dan ialah menggabungkan dua klausa untuk menjadi ayat majmuk atau merupakan lanjutan cerita dari klausa yan pertama. Jika kata dan telah digunakan untuk kali pertama dan ingin menggunakannya lagi, maka kata dan tersebut perlu digantikan dengan kata serta dalam satu ayat untuk menunjukkan tujuan yang sama. Contohnya:

(a) * Setiap hari, Ahmad dan Ali pergi ke sekolah bersama-sama dan pulang dari sekolah bersama-sama.
(b) Setiap hari, Ahmad dan Ali pergi ke sekolah bersama-sama serta pulang dari sekolah bersama-sama.

1.4 Kata sehingga atau hingga tidak boleh digunakan bersama-sama kata ke dalam satu ayat.

Kata hubung hingga atau sehingga dan kata sendi ke tidak boleh digunakan dalam satu ayat yang sama. Kata tersebut boleh digunakan jika menggunakan salah satu daripadanya sama ada kata hingga atau sehingga dan ke. Hal ini demikian kerana, makna bagi kata kedan hingga menunjukkan perkara yang sama iaitu membawa maksud masa dan tempat yang dituju. Jika digunakan kedua-duanya, maka ayat tersebut akan menjadi lewah. Contohnya:

(a) * Pegawai keselamatan yang menjaga bangunan itu berjaga hingga
ke pagi.
(b) Pegawai keselamatan yang menjaga bangunan itu berjaga hingga
pagi.

(a) * Ayah menghantar saya dari rumah sehingga ke sekolah.
(b) Ayah menghantar saya dari rumah sehingga sekolah.

1.5  Menggunakan dua kata hubung yang membawa maksud yang sama.

Dalam membentuk ayat, dua kata hubung yang membawa maksud yang sama tidak boleh digunakan secara serentak seperti kata agar dan supaya. Jika digunakan, maka ayat tersebut akan menjadi tidak gramatis. Sepatutnya, kata tersebut perlu dipilih salah satu daripadanya untuk membentuk ayat. Contohnya:

 (a) * Mereka dinasihatkan agar supaya tidak bermusuh sesama
sendiri bagi mengelakkan sebarang pergaduhan.
(b) Mereka dinasihatkan supaya tidak bermusuh sesama
sendiri bagi mengelakkan sebarang pergaduhan.
(c) Mereka dinasihatkan agar tidak bermusuh sesama
sendiri bagi mengelakkan sebarang pergaduhan.

1.6  Frasa tanya yang mana atau seperti mana dijadikan sebagai kata hubung relatif.

Kata hubung relatif yang tidak boleh ditambah dengan frasa tanya seperti mana dalam sesebuah ayat. Ia merupakan satu kelompok yang berbeza. Kata hubung relatif yangberfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain (Tatabahasa Dewan, 2006:240). Kata mana pula berfungsi sebagai kata tanya dalam sesebuah ayat. Kata mana ini tidak boleh mengambil alih tugas kata hubung dalam membentuk ayat terutama ayat penyata. Contohnya:

(a) * Saya tidak akan memakan makanan yang mana dibuat oleh
orang bukan Islam.
(b) Saya tidak akan memakan makanan yang dibuat oleh orang
bukan Islam.

(a) * Seperti mana yang kita ketahui, majlis perasmian ini akan
dirasmikan oleh Perdana Menteri.
(b) Seperti yang kita ketahui, majlis perasmian ini akan dirasmikan
oleh Perdana Menteri.

1.7  Penggunaan kata hubung justeru itu tidak tepat digunakan dalam ayat.

Penggunaan kata hubung justeru dengan tambahan kata itu lalu menjadi justeru itu dianggap tidak tepat digunakan dalam membentuk ayat. Kata justeru itu dianggap mempunyai maksud yang sama dengan kata oleh itu. Kata justeru itu membawa maksud malahan atau bahkan tetapi kata oleh itu menunjukkan penanda sebab. Oleh itu, tidak tepatlah penggunaan justeru itu kerana kata malahan itu atau bahkan itu tidak wujud dalam Bahasa Melayu. Selain itu, kata justeru tidak boleh berada di awal ayat. Contohnya:

(a) * Dia selalu gagal dalam peperiksaan ujian bulanan, justeru itu dia
tidak pernah berputus asa untuk berjaya.
(b) Dia selalu gagal dalam peperiksaan ujian bulanan, justeru dia
tidak pernah berputus asa untuk berjaya.

1.8 Kesalahan penggunaan kata hubung antara ayat .

Kesalahan penggunaan kata hubung antara ayat juga kerap dilakukan terutamanya di pangkal ayat. Kata kesalahan yang sering digunakan ialah kata sehubungan itu. Hal ini demikian kerana, kata sehubungan terdiri daripada se- yang membawa makna “sama” dan kata hubungan pula membawa makna “kaitan, pertalian”. Oleh sebab itu, kata dengan tidak terangkum dalam maksud hubungan dan kata dengan harus ada bagi menjadikan ayat itu gramatis. Contohnya:

(a) * Sehubungan itu, kita mestilah bekerjasama antara satu sama lain untuk memupuk semangat berkumpulan.
(b) Sehubungan dengan itu, kita mestilah bekerjasama antara satu sama lain untuk memupuk semangat berkumpulan.

1.9 Penggunaan kata hubung yang tidak sesuai dan kata sendi.

Penggunaan kata hubung ada yang tidak sesuai dengan fungsi keterangannya kerana ada kata hubung yang merujuk kepada masa, syarat, sebab, akibat, dan sebagainya. Fungsi keterangan ini untuk menerangkan dengan lebih jelas dan tepat bagi sesebuah ayat. Contohnya:

(a)*Perlawanan bola sepak dibatalkan apabila hujan lebat secara tiba-tiba.
(b) Perlawanan bola sepak dibatalkan kerana hujan lebat secara tiba-tiba.

(a) *Kamu boleh dibebaskan jika kamu berkelakuan baik.
(b) Kamu boleh dibebaskan sekiranya kamu berkelakuan baik.

Berdasarkan contoh tersebut, kata hubung apabila ialah kata hubung yang menerangkan waktu, sedangkan yang dimaksudkan ialah sebab yang merujuk punca pembatalan perlawanan tersebut. kata hubung yang sesuai ialah kata kerana. Bagi contoh yang ke dua pula, ayat tersebut menyatakan syarat untuk dilepaskan, sedangkan penggunaan kata jika tidak sesuai kerana menunjukkan maksud kemungkinan. Oleh itu, kata jika ini lebih sesuai digantikan dengan kata sekiranya atau dengan syarat.

1 comment:

terima kasih... datang lagi