I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday 27 March 2011

Dunia Semalam


Oleh : Siti Azimah Binti Mohd Hanafi
Semester 4 sesi 2010/11
ISMP Bahasa Melayu, UPSI

Suara nyaring itu kedengaran lagi.memecahkan keheningan malam dan menenggelamkan merdu suara sang pungguk yang meluahkan kerinduannya kepada bulan. Sayup-sayup kedengarannya diselangi bunyi salakan anjing. Sesekali merinding bulu roma. Lolongan rintihan itu meminta simpati tetapi seperti tiada sesiapa yang peduli. Aku tertanya-tanya ‘siapakah gerangan empunya suara itu? Dari manakah datangnya? Apa punca yang menyebabkan rintihannya itu begitu mendayu sekali?’. Persoalan ini masih berlegar-legar difikiran tanpa ada sebarang jawapan. Jendela kayu di bilikku yang dahulunya sentiasaku biarkan terbuka kini tertutup rapat. Tidak berani lagi kubiarkan jendela ini ternganga selagi rintihan suara itu betul-betul lenyap.
            “ Sari”. Aku tersentak tatkala terdengar seperti ada yang memanggilku.
Aku melihat jam di dinding menunjukkan pukul 2.34 pagi. ‘Tak kanlah emak panggil aku pagi-pagi buta macam ini’ detik hatiku. Laluku biarkan. Mungkin hanya perasaan dan khayalanku sahaja. Aku teruskan pembacaan.
            “ Sari, bukalah tingkap ni “. Terkejut aku bukan kepalang.
Kali ini aku benar-benar mendengarnya. Jelas menerpa telingaku. Ada yang mengarahkan aku membuka tingkap kayu bilik. Degupan jantungku semakin kencang. Pelbagai perkara yang menakutkan yang terlintas difikiranku. Suara perempuan di pagi-pagi buta tatkala embun jantan baru berjinak-jinak untuk keluar. ‘Logikkah?’, detik hatiku. Bibirku terkumat-kamit membaca surah yang ku ingat.
            “ Sari, kamu halau hamba ya. Kalau macam tu hamba pulang dulu. hamba datang lagi tapi nanti Sari jangan halau hamba lagi ya. “ jelas suara itu.
Pemergian suara itu diiringi dengan salakan anjing yang sahut menyahut. Pucat lesi mukaku bagaikan hilang darahku buat seketika. Ketar lulutku, habis basah bajuku bermandikan peluh. Tidak pernah aku berasa seperti ini. Aku menarik selimut menutupi seluruh tubuh, berbaring secara mengiring dan telinga dan muka aku tutupi dengan bantal. Tidak rela aku mendengar lagi suara itu. Sungguh menggerunkan. Syukur kerana dia sudah pergi tetapi sudah pastinya dia akan kembali. Tiba-tiba terfikir dibenakku, suara itu, seperti pernah kudengari. Ketekutan yang membelenggu diri akhirnya membuatkan diriku terlena tanpa sedar.
            “ Assalamualaikum”. Salamku tidak berjawab.
Aku masuk ke dalam rumah. Sunyi sepi rumah ini. Aku berjalan ke dapur untuk melihat kalau-kalau emak ada disitu. ‘ Pelik, selalunya kalau aku balik dari sekolah mak pasti ada dekat rumah tetapi hari ini kelibatnya pun tidak terpandang. Ke mana emak pergi?’ Tanya hatiku.
Aku naik ke bilik di tingkat atas rumahku. Aku kuak daun pintu kamarku. Aku terkejut apabila melihat susunan bunga kemboja di atas cadar katilku yang berbentuk aksara. Aku amati ejaannya. “SARI”. Itu namaku. Dihujung huruf terakhir ada helaian daun. Aku mengambil helaian daun itu. Di dada daun tertulis suatu pesanan.
“Hamba tahu kamu yang lakukannya Sari, Hamba nampak apa yang terjadi masa kejadian tu tapi hamba tidak salahkan kamu. Sebagai gantinya Hamba hanya mahu kamu jadi sahabat hamba. Tinggal di alam yang lain bersama hamba.”
Dadaku berdegup kencang. Rasa gerun datang menerjah. Aku pasti ketika kejadian itu tiada sesiapa pun yang melihatnya. Hanya aku seorang yang tahu hal ini. ‘ Siapa yang lakukan semua ini?’. Hatiku penuh tanda tanya.
            “ Sari “. Aku terkejut.
Terasa ingin menangis. Suara itu datang lagi. Tingkap yang tidak tertutup rapat tiba-tiba terbuka luas. Aku dilanggar oleh angin yang tiba-tiba meluru masuk. Aku jatuh terduduk dan kelopak-kelopak bunga yang berbentuk huruf di atas katil habis berterbangan dan bertaburan dilantai. Tiba-tiba menjelma sesosok tubuh kecil disebelah meja solek. Tubuhku kaku tidak berganjak. Bagaikan roh yang tidak sempat keluar kembali semula ke dalam jasad dan menyedarkan aku kea lam realiti. Aku mengesot ke belakang kerana terlalu takut. Seorang wanita yang sangat cantik kini berada betul-betul dihadapanku. Senyumannya begitu manis boleh memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
            “ Kau siapa? Apa yang kau mahu dari aku?” . Aku memberanikan diri bertanya kepadanya.
            “ Hamba yang datang ke sini malam tadi. “ katanya.
Aku tidak berkata walau sepatah dan hanya membiarkan dia meneruskan kata-katanya.
            “Jangan takut Sari. Hamba ke mari bukan untuk menyakitimu. Hamba tahu apa yang Sari lakukan kelmarin. Hamba lihat semuanya. Tetapi kenapa Sari meninggalkannya begitu sahaja? Tidakkah ada rasa belas?”. Tanya wanita itu kepadaku.
Aku hanya mendiamkan diri. Aku bukannya tidak kasihan tetapi takut jika ada yang melihat perbuatanku itu dan sebab itulah aku melarikan diri.
            “Hamba tahu apa yang Sari fikirkan. Pelik? Bagaimana hamba boleh tahu kejadian itu? Sari akan tahu setelah Sari mengikut hamba pulang ke dunia hamba “. Wanita itu berkata lagi.
            “ Aku tidak mahu”. Tegasku.
            “Sudah terlambat Sari. Sari mesti ikut Hamba pulang. Ini sebagai hukuman kekejamanmu Sari.” katanya sambil tersenyum.
Tiba-tiba angin yang sangat kuat masuk ke dalam bilikku. Angin itu seumpama menarik aku ke dalamnya. Kuatnya seperti pusaran angin puting beliung. Semua barang-barangku berterbangan. Aku sempat berpaut pada besi katil tetapi pautanku tidak kemas. Aku menjerit meminta pertolongan tetapi tiada seorang pun yang mendengar jeritanku ini. Aku tidak mampu bertahan lagi. Lelehan air mataku tidak jatuh ke lantai. Titisannya berterbangan di sekelilingku. Tiba-tiba peganganku terlepas. Aku disedut oleh angin yang tidak tahu asal usulnya.
            “Mak!”. Hanya ini yang mampuku jeritkan.
Aku membiarkan diriku dimakan angin ini kerana tidak lagi mampu berbuat apa-apa.
            “Sari. Sedarlah Sari.” Terasa mukaku seperti direnjis air dingin.
Perlahan-lahan aku membuka mataku. Wanita yang sebentar tadi berada di dalam kamarku kini ada di hadapanku. Kepalaku terasa pusing dan aku cuba gagahkan diri untuk bangun.
            “Aku berada di mana ini?” soalku apabila aku tersedar bahawa aku berasa di suatu kawasan yang tidak pernah aku kunjungi sebelum ini.
Tempatnya terlalu cantik. Keindahannya sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Aku lihat tempat pembaringanku sebentar tadi hanya beralaskan rumput hijau tetapi sangat lembut. Aku begitu terpegun melihat keadaan sekeliling. Suasana disini sungguh menakjubkan. Sungai jernih yang mengalirkan air berwarna biru sebiru warna laut. Pohon-pohon sekeliling memang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Daunnya berwarna hijau keunguan. Buahnya pula kecil berbentuk bujur sirih dan berwarna kuning susu. Dibawah pohon itu pula terdapat beberapa ekor haiwan. Kelihatannya seperti kucing tetapi telinganya sedikit bulat dan mempunyai kepak. ‘Haiwan apakah ini?’ detik hatiku.
            “Sari”. Pemerhatianku terhenti apabila mendengar namaku dipanggil.
            “Begitu asyik Sari melihat tempat ini sehingga tidak sedar hamba disini”, katanya sambil tersenyum memandangku.
            “Adakah ini tempat tinggal kamu?”. Aku bertanya kepadanya tanpa rasa gentar.
Dia hanya menjawab dengan anggukan kepala sahaja. Lalu aku bertanya lagi.
            “Apa sebenarnya tujuan kamu membawa aku ke sini?”
            “Sudah hamba katakan kepada Sari tadi, hamba membawa Sari ke sini sebagai hukuman atas perbuatan Sari. Sebelum hamba meninggalkan Sari, ada perkara yang ingin hamba sampaikan dan hamba harap Sari tidak sesekali lupa akan pesanan hamba ini.” Cara wanita itu berkata-kata menimbulkan tanda tanya dalam benakku. ‘Penting sangatkah pesanan itu? Huh! Aku tidak suka hidup dengan peraturan.’. merungut aku di dalam hati.
            “Pesanan pertama, Sari boleh berjalan ke mana sahaja yang Sari mahu di dalam kawasan ini tetapi jangan sesekali melintasi jambatan seludang yang terdapat taburan bunga-bunga kemboja di sepanjang jambatan itu. Kedua, sekiranya berasa lapar, Sari boleh makan segala makanan yang ada di sini tetapi jangan sesekali sentuh apatah lagi makan buah berwarna putih yang terdapat di hujung jambatan itu. Sekiranya Sari engkar, maka akan berlaku sesuatu yang buruk kepada dirimu.”
            Aku mulai bosan dengan kata-katanya. Aku tidak gemar dengan peraturan apatah lagi yang menghalang kebebasanku.
            “Peraturan yang terakhir, jangan sekali-kali Sari mendekati pondok kecil yang tiada pintu dan berjendela satu. Ingatlah kesemua pesanan ini dan jangan kamu ingkarinya. Jika tidak, bencana pasti akan menimpa kamu.” Katanya lagi.
Tiba-tiba wanita itu ghaib tanpa sempat aku bertanyakan sebarang soalan. ‘Ah, aku tidak perlukan peraturan seperti itu. Aku sudah besar dan pandai menjaga diriku sendiri. Dia fikir aku ini masih kanak-kanak lagikah?, rungutku sendiri sambil berjalan-jalan disekitar kawasan itu.
Ajaib sungguh tempat ini. Tidak pernah pula aku mendengar wujudnya tempat yang sangat cantik seperti ini. Sepanjang pengetahuanku tiada tempat yang paling cantik melainkan syurga iaitu tempat yang menjadi idaman semua orang selepas melalui alam kematian.
Aku melangkah tanpa tahu arah tujuan. Terpukau dengan suasana yang nyaman, pohon-pohon yang merimbun, dan haiwan-haiwan jinak yang tidak pernah dilihat di duniaku sendiri. Setelah lama berjalan, aku berhenti dan ingin merehatkan diri di sebatang pohon yang rendang. Baru sahaja hendak melabuhkan punggungku, tiba-tiba aku terlihat seekor haiwan yang tampangnya seperti arnab tetapi ekornya panjang seperti ekor kucing, bulunya kuning keemasan dan matanya berwarna biru. Haiwan itu berlari-lari disekeliling seperti cuba menarik perhatianku. Apabila aku berdiam diri, ia datang menghampiriku tetapi apabila aku menghulurkan tangan untuk menyentuhnya ia lari menjauhkan diri. Laluku biarkan sahaja haiwan itu. Beberapa saat kemudian ia muncul lagi.
            “Hai, si kecil. Apa mahumu sebenarnya? Mari ke mari. Jangan takut, aku orang baik.” Aku cuba memanggil haiwan itu dekat kepadaku.
Sekali lagi aku menghulurkan tanganku. Ia datang perlahan-lahan dan akhirnya haiwan itu merelakan aku menyentuh tubuhnya. Bulunya terasa begitu lembut. Aku begitu asyik membelai-belai haiwan itu.
            “Aduh!.” Tiba-tiba haiwan itu menggigit tanganku.
Aku melihat tompokan darah yang kecil pada permulaannya menjadi lelehan darah yang banyak. Sakitnya tidak terkata.
            “Kurang ajar betul binatang ini. Hei! Mahu ke mana kau. Mari sini!”, marahku apabila melihat binatang itu melarikan diri.
Tiba-tiba marahku meledak dan sukar dikawal. Lantas aku mengambil ranting kayu yang patah lalu aku mengejarnya. Aku tidak akan biarkan ia melarikan diri setelah mencederakan diriku ini. Tanpa aku sedari, haiwan itu telah melintasi jambatan seludang dan aku terus mengejarnya dan melalui jambatan yang sama. Setibanya di tengah-tengah jambatan itu langkahku terhenti. Kakiku terasa berat. Kelopak bunga kemboja yang bertaburan di lantai jambatan tiba-tiba bergerak dan melekat di kakiku seperti ada tarikan magnet. Aku cuba melarikan diri dari situ tetapi langkahku kaku. Lelehan air mata berderai dipipi kerana aku terlalu takut. Lekatan bunga itu menyerap ke dalam kaki dan secara tiba-tiba kakiku berubah.
            “Apa semua ini? Mengapa semua ini terjadi? Tolong!” Aku merintih dan cuba untuk meminta bantuan.
Kakiku terasa kebas. Aku lihat secara perlahan-lahan kaki aku bertukar menjadi seperti akar pokok. Keras dan hodoh. Aku menangis semahu-mahunya mengenangkan keadaanku. Aku tidak lagi mampu berdiri dan akhirnya aku terduduk di atas jambatan itu. Aku cuba gagahkan diri mengesot ke belakang untuk sampai ke dataran di hujung jambatan.
            “Hei perempuan! Di mana kamu? Kenapa aku jadi seperti ini? Kembalikan aku seperti asalnya dan aku mahu pulang ke duniaku. Ke mana kau bersembunyi?”. Aku merayu sambil memanggil wanita tadi.
Kawasan itu sunyi sepi dan tiada sahutan suara. Aku tidak sanggup melihat keadaan kakiku yang hodoh ini. Aku terlena setelah penat menangis. Beberapa ketika selepas itu, aku tersedar dan berasa begitu lapar. Terdapat sebatang pohon kecil yang buahnya berwarna putih. Tiba-tiba aku teringat akan pesanan kedua daripada wanita itu. ‘Jangan makan buah yang berwarna putih’. Aku cuba mengingati pesanan itu. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu makan buah itu tetapi perutku sakit dan sangat lapar. Disini tiada makanan lain selain daripada buah yang ada di pohon kecil itu. Makanan yang banyak terdapat di seberang jambatan tetapi bagaimana aku hendak menyeberangi jambatan itu dalam keadaanku yang seperti ini.
Aku mengesotkan diri untuk bergerak ke arah pohon itu.
            “Kalau aku makan sedikit sahaja pasti tidak akan berlaku apa-apa”, ucapku sendirian.
Lalu aku memetik sebiji buah itu. Kelihatannya buah itu sungguh enak. Tanpa berfikir panjang aku memakan buah tersebut. Baru satu kunyahan sahaja aku muntahkannya semula. Lain benar rasanya mulutku ini. Buah yang aku makan tadi terlepas daripada tanganku. Mulutku tiba-tiba membesar dan membengkak.
            “Apa pula kali ini?. Tolonglah hentikan semua ini. Aku sudah tidak sanggup lagi. Kembalikan aku ke duniaku!”, jeritku sambil menangis.
Keadaannya sama seperti tadi. Masih tiada jawapan atau sahutan. Aku bingung dan tidak tahu tempat  inginku memohon pertolongan. Tatkala aku memikirkan hal itu, aku terpandang sebuah pondok kecil yang berhampiran denganku.
            “Mungkin ada orang yang sudi menolongku. Apa salahnya jika aku mencuba.” Aku mengesot ke arah rumah itu dengan susah payah.
Keadaan kakiku yang seperti ini tidak mengizinkan aku berjalan seperti biasa.
            “Ada orang di rumah tak?”, mulutku yang membengkak menyukarkan aku untuk berkata-kata.
            “Tolong saya. Ada sesiapa tak?”, aku bertanya lagi.
Aku sudah berputus asa. Sudahlah ditinggalkan bersendirian, keadaan fizikalku juga turut berubah.
            “Tolonglah. Aku mahu pulang” , aku merintih sayu.
Tidak sanggup lagi aku diuji seperti ini. Tiba-tiba aku terdengar bunyi dari dalam pondok kecil itu. Bunyi suara itu seperti seekor haiwan ganas yang sedang memerhati mangsanya. Suara yang amat menggerunkan. Aku cuba bangun dan menggagahkan diri untuk lari dari situ. Aku terjatuh kerana hilang kestabilan akibat keadaan kakiku itu. Secara tidak sengaja aku menoleh ke arah pondok kecil dan kulihat ada sepasang tangan yang berbulu terlujur keluar dari jendela pondok itu. ketika itu baru kusedar bahawa pondok yang kudekati itu ialah pondok yang hanya berjendela dan tiada pintunya. Itu ialah pondok larangan seperti yang dikatakan oleh wanita itu dan amaran kepadaku supaya tidak menghampirinya.
            “Tolong. Jangan apa-apakan aku. Aku cuma mahu meminta pertolongan.” Rayuku kepada mahkluk itu apabila kulihat tangan itu dengan kukunya yang tajam semakin menghampiriku.
            “Tolong. Jangan. Ampunkan aku. Aku tak bersalah.” Pintaku dengan juraian air mata.
Aku terlalu takut dan saat itu aku rasakan ajalku semakin hampir.
Tangan itu tidak menghiraukan rintihanku. Kakiku direntap dan dicakar hingga menampakkan tulang serta dilumuri lelehan darah pekat. Aku meraung dan mencuba sedaya upaya untuk melepaskan diri. Sakitnya tidak terhingga. Raunganku bergema disetiap tempat tetapi tiada orang yang tampil membantu. Seketika kemudian. kedengaran suara wanita itu.
            “Itu hukuman kepada orang yang tidak mahu mengikut peraturan. Kamu bongkak dan kejam Sari. Kamu yang menyebabkan haiwan kesayanganku mati. Kamu yang membunuhnya. Sekarang terimalah balasan dariku”.
Tiba-tiba tangan itu memegang tubuhku sehingga aku tidak dapat bergerak. Aku tahu, sudah sampai detik-detik terakhirku. Tangan itu mengeluarkan kukunya yang tajam dan diangkat setinggi-tingginya. Kemudian, “zzaaapppp!”.
            “Mak!”. Raunganku semakin perlahan dan aku terus tidak sedarkan diri.
Aku seperti terbang diudara. Tidak berlantaikan bumi, juga tidak bersilingkan langit. Kabus putih yang menebal membuatkan aku tidak dapat melihat keadaan disekelilingku.
            “Dimanakah aku berada sekarang? Adakah aku sudah mati?”. Aku berkata-kata sendirian.
            “Sari!”. Tiba-tiba satu suara garau menyergahku.
Dia memanggil-manggil namaku dengan keras sekali. Secara tiba-tiba, muncul ombak besar yang menghala kearahku. Aku sedaya-upaya cuba melarikan diri tetapi hilang dayaku. Akhirnya, ombak ganas itu menelanku.
            “Sari! Bangunlah. Cepat bersiap nanti kamu lambat ke sekolah pula.” Jerit suara itu.
‘Bangun? Sekolah?’. Tiba-tiba aku merasakan seperti ada yang tidak kena disini.
            “Hei! Bangunlah . Itulah kamu, nak tidur tak reti nak cuci kaki dulu. Sebelum tidur tak baca doalah ni kan?. Aku tersentak. Kepalaku terasa pusing.
Lalu aku gagahkan diri untuk duduk. Pakaian aku terasa basah. Begitu juga dengan katilku. ‘Pelik. Tak kanlah ombak tadi sampai ke dalam bilikku pula’. Aku berfikir sendiri.
            “Ha! Apa tunggu lagi ni? Cepat bangun. Kamu nak abang siram kamu dengan air lagi ya?”, katanya.
Aku terpandang baldi kecil yang dipegang oleh abang. Kini baru aku sedar, ombak yang mengejarku tadi rupanya air yang disimbah oleh abang kepadaku. Habis basah pakaian dan tempat tidur. Tidak sangka pula aku tidur sampai termimpi-mimpi. ‘Mungkin kerana aku terlanggar ayam hutan semalam.’ Aku berfikir sejenak. Kata orang-orang tua, ayam hutan itu adalah haiwan peliharaan orang  bunyian. Aku sendiri tidak tahu ayam yang aku langgar itu masih hidup atau sudah mati kerana aku meninggalkan haiwan itu begitu sahaja.
Aku mengatur langkah mengambil tuala mandi dan terus menuju ke bilik air. Kepalaku tidak berhenti daripada memikirkan kejadian yang berlaku.
‘Apa kaitannya suara yang memanggil nama aku semalam dengan  mimpi malam tadi?’. Mungkin sekadar mimpi di malam hari sahaja. Semua itu masih menjadi persoalan dan aku tinggalkan ke semuanya tanpa ada sebarang jawapan yang dapat merungkai segalanya.
           


           

No comments:

Post a Comment

terima kasih... datang lagi