I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday 27 March 2011

Cinta Klip Kertas

Oleh  NURUL ATIQAH RAMAN
Semester 4 sesi 2010/11
ISMP Bahasa Melayu. UPSI

Pagi hening nan indah. Dalam sebuah rumah teres dua tingkat tersebut, kelihatan seorang wanita membuka telekung putih bersih dan menggantungkannya di dalam almari. Wanita tersebut menolak daun pintu dan menuju ke arah sebuah bilik.
“Zura ! Zati ! Bangun. Masuk bilik air, mandi!”. Jeritan wanita tersebut memecah keheningan pagi itu. Selesai mengejutkan dua orang anaknya, wanita tersebut melangkah keluar lalu menuruni anak tangga.
“Ibu, sejuknya air ni. Macam mana nak mandi?” jeritku dari dalam bilik air. Wanita tersebut hanya tersenyum mendengar gelagat anaknya. Fikirnya, jika dikurniakan ramai anak, mahu pecah rumahnya dengan telatah mereka kelak. Namun, dia bersyukur dikurniakan dua orang anak yang bertanggung jawab dan tidak banyak membantah kata-katanya. Selesai mandi, aku mengejutkan pula adikku yang masih melingkar dia atas katil. Aku dan Zati berkongsi katil dan bilik. Ini kerana hanya kami dua beradik sahaja dalam rumah tersebut. Lagipun, ibu sudah membiasakan kami untuk berkongsi apa-apa sahaja barangan yang dimikili semenjak dari kecil lagi. Jarak umur kami juga tidaklah jauh. Hanya dua tahun sahaja.
“Dik ! Bangun. Kita kena sekolah pagi ni” Aku menarik selimutnya. Zati yang kesejukan menarik semula selimutnya tetapi telah direntap semula olehku. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga bangun.
“Dik! Kau nak pegi mana tu? Bilik air kat sana, okey“ Aku menegur Zati yang tersalah arah menuju ke bilik air. Zati memisat-misat matanya dan terus menuju ke arah yang ditunjukkan. Setelah melihat pergerakan Zati, aku mula menyarung baju sekolah dan mula mendandan rupa. Puasku berdiri di hadapan cermin melihat depan dan belakang badan yang dibaluti dengan baju sekolah. Aku berasa sedikit kelainan kerana baru hari ini aku menyarungkan baju kurung. Sepanjang cuti, aku lebih suka memakai t-shirt dan seluar sahaja. Apabila yakin semuanya telah kemas dan rapi, aku mencapai beg sekolah dan menuruni anak tangga menuju ke arah dapur.
“Ibu masak apa pagi ni ?” Aku menyapa ibu yang sibuk menyediakan air milo di dapur.
“Nasi goreng saja kita pagi ni, Zura. Ehm, Zati dah mandi?” Zura hanya menangguk sebagai tanda menjawab pertanyaan ibunya.
“Ayah mana, bu? Dah balik masjid ke belum? Ehm, ingat nak suruh ayah hantar pagi ni. Boleh tak, bu?” sambil bertanyakan soalan kepada ibunya, Zati membuka tudung saji di atas meja.
“Zati, kalau nak sarapan tunggu ayah dan adik dulu. Sementara itu, ibu nak tukar baju dahulu.” Lalu, wanita tersebut memanjat anak tangga dan menuju ke tingkat atas rumah untuk mempersiapkan dirinya dengan pakaian kerja. Sementara menunggu kesemua ahli keluarga berkumpul untuk sarapan pagi, aku duduk di sofa rumah lalu membuka televisyen. ‘Hari ini, hari pertama persekolahanku. Hendak buat apa saja dalam kelas nanti. Mesti cikgu tak mula mengaja lagi sebab belum dapat jadual. Lagipun, mesti banyak urusan hari ini. Bayar yuran, kehadiran, kemas kelas dan pertukaran pelajar’ bisik hati kecilku. Sempat lagi aku mengelamun.
“Assalamualaikum.” Terdengar suara seorang lelaki memberi. Lantas, aku bangun dan membuka pintu rumah yang berkunci.
“Wa’alaikumsalam. Oh, ayah. Baru balik. Lamanya, ada kuliah Subuh ke?”
“Ya, ada kuliah Subuh sikit tadi. Ayah ingat nak terus balik je lepas sembahyang tadi. Tapi, ayah dengar tajuk kuliah tadi menarik pula. Itu yang lambat balik ni.” Jawab Encik Azri sambil membuka kopiahnya. 
“Ibu dengan Zati mana? Dah pukul berapa ni? Karang lambat pula kamu pergi sekolah.” Ayah mengambil tempatnya di meja makan dan bersedia untuk bersarapan.
“Ibu dengan adik tengah bersiap kat atas. Sekejap lagi turun la tu. Ehm, ayah! Nak minta tolong ayah hantarkan pergi sekolah pagi ni boleh tak?” Aku bertanya kepada ayah dalam keadaan ragu-ragu. Takut ayah menolak permintaanku.
“Boleh juga. Ayah tak kerja hari ni. Sengaja ayah amik cuti.“ Jelas Encik Azri. Lebar senyumanku mendengar jawapan daripada ayah.
“Apa senyum-senyum pagi ni. Kena sampuk ke?” sergah Zati sambil menarik kerusi di sebelahku. Terhenti lamunanku apabila disergah begitu. ‘Buat kacau je budak ni. Baru nak rasa gembira sikit dah kena potong’ kata hatiku.
“Sudah-sudah, tak baik bergaduh depan rezeki. Cepat, karang lambat pula pergi sekolah. Dah la hari ini hari pertama. Ibu tidak mahu kamu berdua lambat. Kamu perlu tunjukkan contoh yang baik kepada semua. Lagi-lagi kamu, Zura. Kamu tu pengawas. Ibu tidak mahu ada laporan yang tidak baik tentang kamu.” Panjang lebar bebelan Puan Zuraida. Sudah menjadi kebiasaan bagi keluargaku nasihat-menasihati sesama sendiri. Lebih utama kepada aku dan Zati. Mungkin kerana kami semakin meningkat remaja.
“Dengar tu Zura, Zati. Tinggi harapan ibu dengan ayah terhadap kamu berdua. Yang penting, jaga tingkah laku. Okey, semua dah ada. Dah! boleh kita sarapan. Karang lewat pula.” Seraya itu, Encik Azri membaca doa makan dan diaminkan oleh isteri dan anak-anaknya.
“Hai Zura, awal sampai. Azam baru ke tahun ni? ” Sapa Farouk. Dia merupakan rakan sekelasku sejak dari kami tingkatan satu lagi sehingga sekarang, di tingkatan empat.
“Mestilah, tahun baru azam baru. Kau duduk mana Farouk?” Aku masih terpinga-pinga mencari tempat duduk. Walaupun masih banyak lagi kerusi yang tidak berpenghuni kerana masih ramai lagi rakan sekelas yang belum sampai, aku masih terfikir-fikir sama ada mahu duduk di hadapan ataupun di belakang kelas.
“Aku duduk kat depan sana. Sebelah Azrin. Tapi dia belum datang lagi. Dia suruh aku copkan tempat dia dulu.” Kata Farouk sambil telunjukya terarah ke hadapan kelas. Setelah berfikir panjang, aku meletakkan beg di atas kerusi di tepi kelas bersebelahan dengan tingkap. ‘Tidak terlalu depan dan tidak terlalu belakang. Tengah-tengah’ fikirku. Ini memudahkan aku untuk melihat guru yang akan masuk ke kelas kelak. Setelah berpuas hati dengan tempat yang dipilih, aku mengeluarkan kain buruk dari dalam beg dan mula mengelap meja yang berhabuk. Ini kerana, sudah dua bulan kami meninggalkan sekolah kerana cuti sekolah. Ini menyebabkan kelas sedikit berhabuk dan kotor. Selesai mengelap dan membersihkan tempat duduk, aku mengambil sebatang penyapu dan mula membersihkan kelas dari hadapan kelas sehingga ke belakang kelas.
‘Rupa-rupanya, kerajinan Zura telah diperhatikan oleh seseorang jejaka kelasnya. Ini kerana, kebanyakan rakan perempuan sekelasnya yang lain rancak berbual-bual. Manakan tidak, cuti dua bulan, pasti ceritanya pun banyak. Mahu dua hari baru habis. Berbeza dengan gadis dihadapannya ini. Walaupun sibuk membersihkan kelas, masih sempat menegur dn menyapa rakannya yang lain yang masuk ke dalam kelas.’
Loceng sekolah pun berbunyi. Ini menandakan bahawa semua pelajar harus berkumpul di dataran sekolah untuk perhimpunan rasmi yang pertama. Terdengar riuh rendah suara pelajar mula keluar kelas untuk ke dataran. Dan aku, sebagai pengawas sekolah, sibuk menyuruh rakan-rakan yang lain berbaris mengikut kelas masing-masing. Walaupun ada yang tidak mahu mendengar kata tetapku jalankan tanggungjawab dengan baik. Perhimpunan berakhir pada jam sembilan pagi. Banyak yang ingin disampaikan oleh pengetua sekolah. Harapan dan impian untuk melihat anak muridnya berjaya menjadi kata-kata akhir dalam ucapannya.
Para pelajar mula kembali ke kelas masing-masing dalam barisan yang teratur. Di dalam kelas, suasananya tidak ubah seperti di pasar. Ini kerana, rakan-rakanku silih berganti bercerita tentang pengalaman cuti masing-masing. Beberapa minit kemudian, terdengar derapan kasut tumit tinggi. Semua pelajar diam serta merta. Dalam hatiku berkira-kira siapakah guru yang akan menjadi guru kelasku kelak?
Semua pelajar bangun serentak dan guru tersebut memberi salam kepada semua pelajar. Ini kerana, jawatankuasa kelas belum dilantik.  Semua pelajar menjawab serentak salam guru tersebut dan duduk apabila diarahkan. Seterusnya, guru tersebut memulakan kelas dengan  memperkenalkan dirinya sebagai  Cikgu Shamsiah dan akan menjadi guru kelas kami, Kelas 4 Azam. Tambahan, beliau akan mengajar subjek  Bahasa Melayu untuk kelas kami. Selesai sesi perkenalan, maka bermulalah sesi pelantikan ahli jawatankuasa kelas. Suasana kelas semakin riuh rendah. Masing-masing ingin mencalonkan nama rakan walaupun ada antaranya yang tidak boleh diharap.
“Saya mencadangkan Azura Raihana Azri sebagai penolong kelas.” Kata Farouk. Lamunanku tiba-tiba terhenti. Terkejut kerana namaku disebut. Terdengar riuh-rendah sorakan rakan-rakanku. Aku menjadi malu apabila Cikgu Shamsiah mengarahkan aku bangun dan memperkenalkan diri kepada rakan-rakan yang lain.

Sekali lagi, hati lelakinya tersentuh mendengar kemerduan suara perempuan itu. Dengan tutur katanya yang baik. Dimulakan dengan salam, mengucapkan syukur pada Tuhan dan berterima kasih kepada rakan-rakan. Ini menunjukkan bahawa dirinya tidak meninggi diri dan seperti muslimah pilihannya. ‘Bagus perempuan ini. Terasa ingin berkawan dengannya. Tapi, bagaimana hendak bagi tahu yang aku ingin berkawan dengannya? Aku tidak ada seorang pun rakan perempuan. Kalau tidak bagi tahu, melepas pula’ hati lelakinya berkata.
Hari Selasa dan hari Rabu berjalan seperti biasa. Pada hari Khamis juga, persekolahan berjalan seperti biasa. Jam sudah menunjukkan 1.05 minit petang. Namun, masing-masing sudah menunjukkan gelagat mahu pulang. Ada yang menguap, ada yang bersembang, sibuk menyimpan barang-barang dalam beg walaupun cikgu belum menunjukkan tanda-tanda untuk menamatkan kelas. Loceng sekolah berbunyi tepat pada masanya. Tiba-tiba, Farouk memandang ke arahku. Dia mengangkat tangan menyuruh aku tunggu sebentar. Hatiku mula berasa runsing dan tertanya-tanya. Apakah yang dimahukan oleh si Farouk ni? Kerja sekolah telah kupinjamkan untuk ditiru jadi, apalagi yang dimahukan.
“Zura, aku ada perkara yang aku nak bagutahu kau dan juga bendanya sekali. Ni, ada surat cinta untuk kau. Pesan orang ni, buka dirumah. Dan ucapan dari aku, selamat membaca.” Aku yang terpinga-pinga mengambil ‘surat’ daripada Farouk lantas membelek-belek surat tersebut. Aku mencari nama pengirimnya tetapi tidak menjumpainya.
“Farouk ! Farouk !...” Aku memandang sekeliling mencari Farouk tetapi dia sudah tiada. Hanya aku seorang sahaja di dalam kelas pada waktu itu. Akhirnya, setelah meneka-neka pengirimnya dalam hati, aku pulang ke rumah dengan hati yang gundah gulana. Setibanya di rumah, aku melakukan rutin harian seperti biasa. Mandi, solat Zohor, makan dan menonton televisyen. Langsung aku terlupa tentang surat yang diberikan oleh Farouk. Aku teringatkannya sewaktu membuka beg untuk mencari buku latihan pada malam hari.

    Salam perkenalan....
Maaf mengganggu. Saya amat meminati awak  dan harap kita dapat berkawan dengan                lebih rapat .
 








Hanya sekeping  surat yang ringkas. Tidak punya tandatangan pengirim. Tidak punya nama pengirim. Namun, yang membuatkan hatiku tertarik adalah klip kertas yang diselitkan bersama. Hanya klip kertas. Klip kertas yang biasa telah dibentuk menjadi bentuk hati dan diwarnakan dengan warna merah dan putih berselang-seli. Aku berkira-kira, siapakah empunya surat ini? Apakah yang aku lakukan padanya sehingga dia tertambat hati padaku? Fikiranku mula meneka-neka seorang demi seorang rakan lelaki sekelasku. Akhirnya, aku tertidur memikirkannya ditambah dengan keletihanku di sepanjang hari persekolahan.
Keesokan paginya, aku bangun sedikit awal dari kebiasaan. Mungkin disebabkan aku tidur awal semalam. Setelah menyiapkan kerja sekolah yang terbengkalai, aku mula memikirkan kembali surat semalam. Hanya Farouk seorang sahaja rakan karib lelaki yang aku ada dalam kelas. Hatiku menghitung. ‘Takkan Farouk menaruh hati padaku. Sudah lama kami berkawan, kenapa baru sekarang dia ingin menyatakan hasrat hatinya. Aku pula hanya menganggap dia sebagai seorang kawan. Tidak lebih dari itu. Tak mungkin kami bercinta.’ Setelah mendapat keputusan, aku memutuskan untuk membalas surat tersebut. Ini kerana, aku membalas sekadar ingin mengetahui empunya diri surat tersebut dan mahu menambah kenalan. Barangkali...
Dalam surat tersebut, aku mengizinkannya untuk berkawan sahaja denganku. Dan aku juga bertanyakan nama dan kelasnya. Dalam surat tersebut, aku sertakan bersama klip kertas yang diberikan. Walaupun menarik, tetapku pulangkan kembali kerana barang tersebut bukan milikku.
Setibanya di sekolah, aku terus berjumpa dengan Farouk yang tiba lebih awal daripadaku. Kemudian, aku memberikan surat balas kepadanya dan  bertanya serba sedikit tentang pengirim surat tersebut. Namun, jawapan yang diberikan oleh Farouk menghampakan. Alasannya, dia mahu memegang amanah pengirim dan hanya mahu menjadi ‘posmen’ sahaja.
“Farouk, jangan main-main. Siapa yang bagi sebenarnya, kalau kau tak  mahu bagitahu, aku tak nak tegur kau seminggu.” Aku mula mengugut Farouk. Tetapi, dia berlalu dengan wajah selamba bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Pembelajaran kelas berjalan seperti biasa. Namun, hatiku kadang kala terdetik dan dapat merasakan seolah-olah pergerakanku diperhatikan. Aku berlagak seperti biasa. Selepas tamat subjek terakhir, Farouk melalui tepi mejaku dan meletakkan sekeping kertas dan berlalu pergi. Seperti ‘touch n go’ lagaknya. Mungkin Farouk berpegang dengan kata-kataku yang tidak mahu bertegur dengannya dalam masa seminggu. Mungkin bagiku, kata-kata tersebut tidak akanku kotakan kerana aku amat memerlukan Farouk untuk menjawab segala persoalan ini. 
Ketika mengemas alat tulis dan buku di atas meja, lantas aku membuka kertas tersebut. Pada kali ini disertakan juga klip kertas tetapi berlainan pula warnanya, kuning berselang hitam. ‘Sangat comel’ kata hatiku.

Terima kasih kerana sudi berkawan dengan saya. Saya ini seorang yang
Pelik...
Bermata coklat...
Berkulit cerah...
Selamat mencari...

                                                             










Pelik? Bermata coklat? Berkulit cerah? Siapa? Takkan aku nak perhati seorang-seorang anak mata rakan sekelas. Ish, tak mungkin. Macam mana aku nak cari? Hatiku tertanya-tanya sepanjang perjalan ke rumah. Hari itu juga membuatkan diriku tidak lalu makan kerana memikirkan tentang hal tersebut dan juga terlalu letih sepanjang hari di sekolah di tambah pula dengan aktiviti kokurikulum di sebelah petang. 
Kewujudan klip kertas, kertas, dan surat misteri ini akhirnya diketahui juga oleh adikku. Ini kerana aku  hanya membiarkannya di atas meja dan disedari olehnya. Lebih menambat hatinya adalah klip kertas tersebut.
“Kak, cantiknya klip kertas. Tak pernah nampak pun sebelum ni. Nak satu boleh tak?” Aku yang terperanjat dengan sergahannya terus mengambil klip kertas tersebut dari tangannya.
“Mana boleh. Itu bukan akak punya. Ada orang bagi.”
“Ada orang bagi? Siapa?”
“Entah. Akak pun tak kenal”
“Ha. Pakwe ya?”
Daripada aku ingin merahsiakannya terus terbongkar segala-galanya. Aku ingin mengelakkan daripada Zati berfikir yang bukan-bukan. Tetapi, aku mengatakan kepada Zati supaya tidak memberitahu ibu. Bagiku, ini adalah perkara kecil yang dapat diselesaikan olehku sendiri. Zati memahami kata-kataku dan berjanji tidak akan memberitahu ibu.
Pada waktu rehat, aku mengadakan ‘mesyuarat tertutup’ dengan Farouk di belakang kelas. Aku membacakan ciri-ciri lelaki tersebut kepada Farouk. Di hanya tertawa mendengarkannya. Sempatku perhati anak mata Farouk. Malangnya, anak matanya berwarna hitam. Aku tidak pasti sama ada Farouk perasan perbuatanku terhadapnya ataupun tidak. Lantas, aku meminta pertolongannya sekali lagi untuk menyiasat siapakah lelaki bermata coklat di dalam kelas. Jika aku melakukannya sendiri, pasti orang tersebut perasan dan memang selama ini pun aku amat jarang bersembang dengan palajar lelaki. Akhirnya, Farouk sudi menolongku tetapi dikenakan syarat. Farouk menginginkan sekotak coklat sebagai balasan jika dia menjumpai orang tersebut. Aku menerima syaratnya dengan hati yang terbuka.  Aku mula berasa lega kerana aku tidak perlu mencari pengirim tersebut dan hanya menunggu jawapan daripada Farouk sahaja.
Ketika menuruni anak tangga, aku terdengar seseorang menjerit namaku. Disebabkan keadaan tangga yang sesak kerana waktu tersebut pelajar pulang ke rumah, maka aku mengambil keputusan untuk berhenti di aras bawah sahaja. Jeritan tersebut  adalah milik Farouk. Penat dia mengejarku dari aras tiga hingga aras satu. Tercungap-cungap dia.  Aku memberikan beberapa minit untuk dia bertenang. Rupa-rupanya, dia ingin memberikan ‘surat cinta’ kepadaku yang dikirimkan oleh pengirim misteri tersebut. Kasihan aku melihat Farouk. Sudahla terpaksa menjadi orang tengah dan menjadi penyiasat persendirian diriku, ditambah pula terpaksa mengejarku semata-mata kerana surat tersebut.


Maaf mengganggu. Kalau ada kesempatan, esok kita berjumpa di gazebo kantin selepas kelas esok.







Selepas membaca surat tersebut, aku melipatkannya kembali dan terus pulang ke rumah. Aku mula merasa gundah-gulana kerana tidak dapat mengagak siapa lelaki misteri tersebut. Adakah orangnya baik? Dari kelas manakah dia? Semakin serabut kepalaku memikirkannya.
Hari yang ditunggu-tungu pun akhirnya tiba. Setelah bersiap-siap untuk pulang dan berjumpa  lelaki tersebut, sempatku menarik Farouk untuk menemaniku bersama. Walaupun Farouk memberikan seribu satu alasan untuk tidak menemaniku, aku tetap berkeras. Ini kerana, tidak manis untuk berjumpa dengan bukan mahram berdua-duaan. Apatah lagi tidak kenal hati budinya terlebih dahulu. Hampir 15 minit menunggu, orang yang ditunggu-tunggu tidak juga muncul tiba. Farouk pula sudah mula mengadu lapar, mengantuk, panas dan macam-macam alasan lagi. Tidak sampai hatiku melihat keadaan Farouk, dengan berat hati, aku izinkannya untuk pulang. Kira-kira lima minit aku menunggu keseorangan, aku mengambil keputusan untuk pulang.
 Apa yang berlaku pada hari ini aku ceritakan semula kepada Zati. Dia menasihatiku supaya berjaga-jaga. Dia takut jika lelaki tersebut hanya mahu mempermainkan aku kesan daripada kejadian yang berlaku pada hari ini. Setelah terfikir kembali, betul juga katanya. Aku harus lebih berhati-hati dan tidak terlalu memikirkan tentang lelaki misteri tersebut.
Keesokan paginya, Farouk menemuiku dan bertanyakan sama ada aku telah berjumpa atau tidak dengan lelaki misteri itu. Aku menjawab soalannya dengan hati yang geram dan aku berpesan kepada Farouk untuk disampaikan kepada lelakiitu  yang aku tidak mahu berkawan dengan orang yang memungkiri  janji. Walaupun aku kasihan dengan Farouk, tetapi perlu juga aku bertegas dengan lelaki misteri itu. Selepas pulang daripada makmal sains, aku dapati terdapat sepucuk surat di dalam mejaku. Lantasku buka dan membacanya.
Mula-mula aku sudah nekad tidak mahu berkawan dengannya, tetapi surat tersebut telah membuka hatiku kembali. Ini kerana, lelaki tersebut mempunyai alasan yang tersendiri atas kesilapannya semalam. Aku masih memberikannya peluang. Ku terfikir bilakah surat tersebut diletakkan? Bukankah kelas kosong kerana semua pelajar pergi ke makmal. Ehm, pandai sungguh orang ini. Bijak mengambil peluang.
Minggu ini merupakan minggu yang paling sibuk di sekolah kerana sekolah mengadakan Minggu Disiplin. Oleh itu, semua pengawas wajib terlibat atas segala aktiviti yang dijalankan. Oleh itu, kerap juga aku keluar kelas kerana mengendalikan program yang banyak berlaku di dewan sekolah. Terlebih dahulu rakan sekelasku, Azfar, meminta kebenaran untuk duduk ditempatku. Ini kerana Azfar bercinta dengan rakan sebelahku, Diyana. Aku memahami kehendaknya dan mengizinkannya duduk di situ. Sempat juga aku  berpesan supaya tidak mengusik barang-barangku yang ada di dalam meja. Aku senang melihat kedua-dua pasangan tersebut. Kedua-dua mereka pandai membahagikan masa untuk belajar dan bercinta. Mereka juga adalah pelajar terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) sekolah . Mereka tidak mahu bertukar sekolah atau memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana katanya, mereka selesa belajar di sekolah ini, mengenali guru-guru dengan lebih rapat dan yang lebih penting  bagi mereka belajar di mana-mana  semuanya sama sahaja. Betul juga kata mereka. Ini kerana bagiku, bukan sekolah yang menjadikan seseorang murid itu pandai, tetapi pelajar itu sendiri yang perlu berusaha untuk berjaya dan mencapai kejayaan.
Setelah seharian bekejar-kejar ke bilik disiplin dan dewan sekolah, aku akhirnya mengambil beg di dalam kelas untuk pulang ke rumah. Aku mengambil nota dan kerja sekolah daripada rakan-rakan sekelas. Bagiku, walaupun memegang jawatan sebagai pengawas, pelajaran tidak perlu dilupakan. Ini kerana seseorang pengawas perlulah menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada semua pelajar. Ibu juga pernah berpesan, “Zura, jawatan pengawas ini berat. Zura kena banyak mengorbankan masa dan tenaga. Sekarang, ramai pelajar nakal yang Zura kena bimbing. Oleh itu, ibu hendak Zura buat pilihan dengan tepat. Tetapi jawatan pengawas ini juga ada baiknya. Zura akan menjadi lebih berdisiplin daripada orang lain. Selain itu, Zura juga akan jadi pemimpin sebab, pada masa akan datang Zura tak akan tekapai-kapai jika diminta memimpin sesuat organisasi. Jangka panjangnya baik terutamanya ketika bekerja. Tetapi jangka pendeknya Zura akan rasa letih, terbeban, tekanan dan sebagainya. Jadi, fikir dahulu sebelum buat keputusan.” Kata-kata ini ku dengar ketika mula-mula aku terpilih untuk menjadi pengawas sekolah. Ketika itu usiaku masih muda, tingkatan dua. Setelah berfikir selama dua hari. Aku membuat keputusan untuk memegang jawatan tersebut. Ibu, ayah dan Zati memberikan sepenuhnya sokongan kepadaku. Sehingga ke hari ini, aku tidak pernah mengeluh memikul tanggungjawab tersebut. Ia banyak mengajarku erti kesabaran.
Selesai perhimpunan pagi, aku bergegas masuk ke dalam kelas. Aku sedikit lewat ke kelas kerana guru disiplin mengadakan ‘spot check’ rambut dan pakaian pelajar pada pagi itu. Semua pengawas diminta membantu guru disiplin untuk memeriksa para pelajar. Selesai menjalankan tugas, aku bergegas menuju ke kelas. Ketika tiba di tempatku, aku berasa satu kelaianan pada tempat dudukku. Ku lihat mejaku penuh dengan tulisan berdakwat ‘pen marker’ dan pemadam pen atau disebut juga sebagai ‘liquid paper’. Disebabkan guru masuk agak lewat pada pagi itu, aku bertanya kepada Azfar tentang hal tersebut. Lantas, Azfar datang ke tempatku dan mengaku itu perbuatannya. Tetapi, hanya yang bertulis menggunakan ‘pen marker’ sahaja. Aku memaafkan kesalahan Azfar kerana tulisan tersebut tidaklah jelas sangat.
Tetapi, yang menarik perhatianku adalah kata-kata dimejaku. Ada tertulis ayat ‘AKU GILA’ dengan tulisan ‘pen marker’. Itu aku tahu tulisan Azfar. Dan dijawab pula ‘ENGKAU TAK GILA’ dengan menggunakan ‘liquid paper’. Dalam fikiranku siapakah empunya tulisan ini. Adakah orang ini menyangkakan yang aku menulis perkataan tersebut? Dan adakah dia menyangkakan yang aku gila? Sedangkan itu semua adalah bukan kerjaku. Aku membiarkan sahaja ‘tulisan conteng’ pada mejaku kerana aku tidak kuasa untuk membersihkannya. Semakin lama, tempatku menjadi perhatian kerana mungkin dalam banyak-banyak meja di dalam kelas, mejaku sahaja yang berconteng, ditambah pula dengan tulisan ‘liquid paper’ yang menonjol kerana berwarna putih. Aku membiarkan sahaja tanggapan rakan-rakanku.
“Zura, budak tu nak jumpa kau petang ni, pukul empat, dekat depan surau.” Kata Farouk ketika berjumpaku selepas waktu rehat.
“Eh, pukul empat petang? Kalau ada kokurikulum tak apa lah. Kalau semata-mata nak jumpa dia, malaslah.” Jawabku.
“Sekarang, terpulang dekat kau. Kalau kau nak tahu siapa lelaki misteri itu, datang petang ini. Kalau tak, aku dah tak nak jadi posmen korang lagi lepas ni. Aku dah nak pencen,” seloroh Farouk. Selepas berfikir panjang, akhirnya aku bersetuju untuk berjumpa. Tetapi aku tidak keseorangan, aku mengajak Diyana menemaniku setelah meminta izin daripada Azfar.
Pada pukul 3.50 petang, aku sudah menapak keluar daripada rumah untuk berjumpa dengan Diyana terlebih dahulu dan seterusnya pergi ke sekolah. Kami tiba di sekolah tepat jam empat petang. Seperti yang dijanjikan, aku menunggu lelaki misterti tersebut di hadapan surau. Dengan cuaca matahari terik, aku menunggu lebih kurang 10 minit di situ. Aku mula merasakan yang aku dipermainkan untuk kali yang kedua. Tiba-tiba, datang sesusuk tubuh mara ke arah kami.
“Itu bukan Azrin ke?” kata Diyana. Baruku perasan. Hampirku lupa akan kehadiran Azrin di dalam kelasku. Ini kerana dia merupakan seorang pelajar yang sangat pendiam. Di tambah pula dengan aku tidak pernah berziarah ke tempat Farouk.
“Assalamualaikum. Zura kan? Kenapa awak hendak berjumpa dengan saya?” Aku terpinga-pinga akan soalannya.
“ Wa’alaikumsalam. Saya Zura. Eh, bukan awak ke yang hendak berjumpa dengan saya?” Aku bertanyakan pula persoalanku kepadanya.
“ Farouk kata awak nak jumpa saya.”
“ Farouk pun kata macam tu juga dekat saya”.
Kami berdua mula terdiam. Akhirnya, Diyana menyampuk dan mengatakan ini semua pastinya rancangan Farouk. Masing-masing ketawa akan hal yang terjadi.
Maka, bermula dari situlah perkanalan kami bermula. Akhirnya, Azrin mangaku yang dia adalah lelaki misteri tersebut dan meminta maaf terhadap semua perkara yang berlaku. Niatnya hanya ingin berkenalan sahaja. Katanya lagi ini merupakan kali pertama dia berkawan dengan perempuan. Maka, aku menerimanya dengan hati terbuka.
Perkenalanku dengan lelaki tersebut aku ceritakan kepada ibu dan ayah. Mereka membenarkan kami berkawan asalkan tidak mengganggu pelajaran. Ibu dan ayah sangat memahami keadaanku kerana ibu seorang guru kaunseling dan ayah pula adalah seorang kaunselor di pejabat kerajaan. Mereka menerangkan bahawa, zaman remajalah  bermulanya peningkatan hormon. Oleh itu, suka sesama berlainan jantina adalah normal. Asalkan tidak melampaui batas agama dan tidak  melakukan perkara diluar jangkaan mereka. Aku berpegang dengan kata-kata ibu dan ayah.
Zati pun mula mengenali Azrin setelah aku menceritakan mengenai Azrin kepadanya. Zati mengatakan dia suka dengan Azrin kerana dia seorang yang berani dan kreatif. Aku bersetuju dengan kata-katanya. Persahabatanku dengan Azrin hanya berkisar tentang pelajaran sahaja. Tidak lebih dari itu. Kalau lebih pun hanya bersembang-sembang tentang isu semasa, kawan-kawan sekelas dan keluarga. Janjiku pada Farouk juga tidak ku lupakan. Sekotak coklat kubelikan untuknya kerana bersusah payah menjadi orang tengah selain banyak membantuku dalam pelajaran. Aku masih teringat kata-kata Farouk kepadaku.
“Zura, perkenalan korang ni unik la. Lebih-lebih lagi pakai surat. Macam orang dulu-dulu. Tapi yang aku tertarik adalah klip kertas tu. Cantik. Aku rasa macam nak je amik klip kertas tu sebelum bagi surat tu kat engkau. Tapi, takkan aku nak amik. Nanti Azrin kata aku pencuri pula. Ehm, boleh tak aku simbolikkan persahabatan korang ni?” Terang Farouk dengan panjang lebar.
“ Ada-ada je kau ni. Ha, apa dia?” Aku mula rasa tertarik.
“ Cinta Klip Kertas...” Farouk pun berlalu sambil tersenyum dan aku pun terpaku sambil memikirkan kata-katanya.

No comments:

Post a Comment

terima kasih... datang lagi