I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday 27 March 2011

Sesalju Kasih Mama


OLEH : NORADILA BINTI ISMAIL

“Maa....bangun ma...Tina minta maaf ma...” hanya itu yang mampu aku ucapkan.
Masa seakan terhenti. Suasana dengan tiba-tiba menjadi sepi. Kedengaran hanya tangisanku. Aku membuang pandang ke dinding bilik. Kelihatan papa sugul sekali. Air mukanya keruh tiada sinar. Tiba-tiba papa memandang ke arah aku. Papa cuba melemparkan senyum meskipun aku tahu senyum yang dilemparkan itu hanya lakonan. Senyum itu tidak semanis semalam tetapi pahit bagaikan hempedu. Aku memandang wajah papa dengan penuh penyesalan.
“Tina, sudahla tu....mari kita keluar makan dulu. Dari tadi Tina tak makan. Nanti perut masuk angin..” lembut suara papa memujukku.
Memang dari pagi tadi aku tidak makan. Semua rasa lapar hilang diganti dengan rasa berdosa terhadap papa dan mama. Jika bukan kerana aku, sudah pasti mama tidak terlantar di sini.
“Tak apa lah papa...Tina tak lapar. Tina nak jaga mama kat sini..”
Aku memberi alasan. Memang aku tidak berasa lapar. Aku hanya ingin mama sedar dan berbicara denganku. Aku ingin memeluk mama dan memohon ampun atas keterlanjuranku semalam. Sedang aku asyik melayan rasa, aku merasa tangan papa mengusap lembut kepalaku. Kasih papa masih sama untuk aku meskipun akulah penyebab insan yang dia sayang terlantar sakit.
Aku merenung wajah mama. Putih dan bersih. Cantik....mengapa baru sekarang aku sedar kecantikkan itu? Selama ini hati aku buta dalam menilai siapa mama. Air mata mula bergenang, berkumpul ditubir mata dan tanpa dapat ditahan jatuh berlinangan. Deras bagaikan tiada hentinya. Dalam samar-samar, terbayang peristiwa semalam. Peristiwa yang tidak mungkin dapat aku lupakan. Peristiwa yang mengajar  aku supaya menjadi insan yang tahu bersyukur.
“Sayang....papa tak dapat datang ke sekolah Tina hari ni. Mama akan gantikan papa,” Suara papa lembut berbicara. Tetapi dipendengaranku suara itu umpama halilintar yang memanah gegendang telinga.  Aku cuba mengawal perasaan yang bergelodak dalam jiwa.
“ Kenapa pa....?” Aku cuba mencari sebab ketidakhadiran papa. Kalau boleh aku nak papa yang datang dan bukannya mama. Bukanlah aku membenci mama tapi aku berasa malu kalau mama yang datang.
“ Papa ada meeting dengan pelabur asing....papa minta maaf k sayang....”
Papa memang selalu sahaja sibuk. Kerja papa tidak menentu masanya. Tetapi tidak pernah papa tidak hadir ke perjumpaan sekolah. Aku mengeluh sendirian. Seraya itu air mataku mula bergenang. Namun cepat-cepat aku seka agar tidak meleleh jatuh ke pipi. Aku sebak. Lama aku menunggu tetapi kelibat mama belum kelihatan. Para ibu bapa pelajar lain sudah lama masuk ke dalam dewan. Aku melihat jam di tangan. Jam menunjukkan hampir pukul 10 pagi.
“ Agaknya....mama tak datang...mesti mama sibuk kat kedai,” aku berbicara sendiri.
Aku tersenyum.....bagus juga mama tak datang. Tanpa menunggu lebih lama aku masuk ke dalam dewan. Aku mengambil tempat di sebelah Mona dan ibunya.
“ Papa kau tak datang?” tanya Mona perlahan.
“ Errrrmm....tak. Papa aku ada keja,” aku membalas pendek dengan berbisik. Khuatir jika mengganggu majlis yang sedang berlangsung.
“ Mama kau....?” soal Mona lagi. “ Dia pun tak datang juga....sibuk kat kedai,” aku menjawab perlahan. Kalau boleh aku tak mahu Mona bertanya banyak tentang mama. Lagipun, Mona tidak pernah mengenali mama. Mona hanya pernah berbual dengan papa. Hal ini kerana segala urusan di sekolah papa yang uruskan. Aku lebih senang begitu.
“Kenalkan, ni ibu aku.....” Tiba-tiba lamunanku terganggu dengan suara Mona. Aku tersenyum dan bersalam dengan ibu Mona.
Terasa lembut tangannya. Cantik.....aku memuji ibu Mona. Persis seorang model. Wajahnya yang putih kelihatan berseri dengan solekan yang dikenakan. Rambutnya yang mengurai panjang kelihatan kemas disanggul tinggi. Penampilannya menarik dengan baju dan skirt hitam berjenama BCBG Maxazria. Pastinya Mona bangga memiliki ibu sepertinya. Wanita moden yang bekerjaya, cantik dan pandai pula bergaya. Alangkah baiknya jika aku memiliki ibu seperti Mona. Tetapi riak wajahnya kelihatan sombong dan tidak begitu mesra. Sapaan aku cuma disambut dingin dan hambar.
“Oiiittt Tina...kau tak nak balik ke?” seraya itu aku terasa pedih dipaha kiriku.
“Adoiiii!!!! Sakitla!!!” Aku menjerit nyaring. Pedihnya terasa menjalar ke seluruh tubuh. Ikutkan hati hendak saja aku membalasnya kembali. Biar tahu rasa.
“ Itulah kau.....lain kali jangan berangan. Banyak kali tau aku panggil tapi kau buat derrrkkk aje..” ngomel Mona. Hanya perkataan itu yang sempat aku tangkap, yang lain hilang dibawa angin. Aku masih menggosok paha aku yang terasa pedih.
“Sudahlah buat salah, membebel pula minah ni,” aku merungut dalam hati.
Hilang sahaja pedih dipaha aku mendongak ke atas. Dewan telah kosong. Ibu Mona juga telah pulang. Tanpa membuang masa lagi aku bergegas mengambil beg dan melangkah keluar dewan. Mona sengaja aku tinggalkan. Geram!!! Dari jauh aku lihat dia terkocoh-kocoh mengejar aku. Sempat aku tersenyum sendiri melihat gelagatnya. Padan muka!!!
Sampai sahaja di simpang jalan aku dan Mona berpisah. Mona biasanya akan pulang bersama abangnya yang bersekolah di sekolah sebelah. Aku pula pulang dengan menunggang basikal. Sepanjang aku mengayuh aku berkira-kira sendiri sama ada mahu terus pulang ataupun melawat mama di pasar. Aku mengambil keputusan untuk melawat mama. Aku mempercepatkan kayuhan. Terasa lelah menyengat-nyengat tubuhku.
Sampai sahaja aku di pasar aku meninjau-ninjau mencari mama di gerai Pak Abu. Tapi tiada. Mungkin mama berada di kedai. Aku turun dari basikal dan menuntunnya perlahan. Bau hanyir longkang dan ikan menusuk ke hidung. Hal inilah yang menyebabkan aku benci datang ke sini. Aku mempercepatkan langkah di tengah-tengah orang ramai itu. Sambil melangkah aku berjaga-jaga agar air kotor tidak terpercik mengenai baju sekolahku.
“Mama! Mama!” aku menjerit memanggil nama.
Aku kuatkan suara agar dapat menandingi keriuhan di luar yang bising dengan sorak sorai orang ramai yang datang ke pasar. Terasa bingit telinga mendengar suara peniaga melelong barang. Pelbagai ragam manusia dapat aku lihat. Di suatu sudut ada peniaga yang kelihatan marah-marah kerana buah-buahan jualannya jatuh akibat dilanggar orang ramai yang berpusu-pusu. Hari minggu begini memang suasana agak sibuk. Berkali-kali aku memanggil mama namun tiada suara yang menyahut. Aku ke belakang kedai. Manalah tahu kalau-kalau mama ada di belakang. Tiada juga.
“Ooo emak engkau!” Aku melatah terkejut apabila terasa satu tepukan singgah dibahuku. Aku menoleh ke belakang. Mencari siapa yang  menepuk aku tadi.
“Mak Leha rupanya....ingat siapa tadi.,” kataku sebaik sahaja melihat muka Mak Leha.
“Kamu ni Tina.... dari tadi Mak Leha panggil kamu. Tapi kamu buat tak endah saja,” bicara Mak Leha. Bila masa pula Mak Leha panggil aku ni? Setahu aku, tidak pula aku mendengarnya. Aku bermonolog sendiri.
“Maaflah Mak Leha, Tina tak dengar tadi....bising sangat,” kataku sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Aku tersengih bagi menutup malu. Mak Leha cuma tersenyum melihat aku.
“Kamu cari mama kamu yaa? “ Tanya Mak Leha. Aku mengangguk.
“Mama kamu keluar, dia pergi bersama Badrul. Tapi Mak Leha tak tahulah pulak ke mana,” jawab Mak Leha. Aku hanya diam. Badrul......tiba-tiba aku berasa benci. Memang aku tidak sukakan budak miskin dan kotor itu. Bagi aku Badrul cuma mengambil kesempatan atas kebaikkan mama. Sebaik sahaja Mak Leha beredar, aku menunggu mama di depan pintu kedai.
Tidak beberapa lama kemudian aku melihat dari jauh mama berjalan menuju ke arahku. Seperti biasa, mama cuma berpakaian ringkas. Tudung bercorak bunga kecil yang diikat kemas. Baju t-shirt  yang agak lusuh dan seluar slack berwarna hitam. Wajahnya yang putih kelihatan pucat dan lesu tanpa sebarang solekan. Kadang-kadang aku malu dengan penampilan mama. Mama tidak seperti ibu Mona. Aku sering membandingkan mama dengan dengan ibu kawan-kawan aku. Mempunyai seorang ibu yang cantik, bergaya tambahan pula bekerjaya memang membanggakan sesiapa sahaja. Berbeza dengan mama yang kekampungan dan hanya bekerja sebagai penjual bunga di pasar.
Aku mengeluh perlahan. Aku pelik dengan sikap mama. Entah apa yang dicarinya di sini. Walaupun beribu kali aku merungut aku tidak suka dia berniaga di sini tetapi dia tetap berdegil. Bukannya papa tidak mampu menyara mama. Sikap mama membuatkan aku berasa malu dengan rakan-rakanku. Aku malu untuk menganggap mama sebagai ibuku.
Sejak kebelakangan ini mama selalu menyakitkan hatiku dengan bersama Badrul. Badrul merupakan anak gelandangan yang selalu datang ke kedai mama. Keadaannya yang comot dan tidak terurus, membuatkan aku menjadi benci kepadanya. Mama selalu memberi alasan perlu menolong orang yang dihimpit kesusahan tetapi bagi aku seseorang tidak akan susah andainya berusaha. Mereka susah kerana mereka malas! Selalunya perdebatan aku dan mama mengenai Badrul akan berakhir dengan pertengkaran.
“Dah lama kamu sampai Tina?” tanya mama kepadaku.
“Ermmm, lama juga...” jawab aku ringkas. Keinginan aku berbual mati apabila tahu mama keluar dengan Badrul. Hendak sahaja aku bertanya mama mengenainya. Tetapi aku cuba untuk bersabar. Rasa benci terhadap Badrul kian bercambah dengan tiba-tiba.
“Mama minta maaf tak datang ke perjumpaan sekolah Tina tadi. Mama terpaksa ke hospital. Emak Badrul sakit,” sambil menggosok belakangku mama memberi alasan. Aku tahu mama sedang memujukku. Dalam hati aku menyumpah-nyumpah Badrul. Mama selalu sahaja melebihkan Badrul kebelakangan ini.
“Takpelah mama, Tina ni kan dah tak penting sekarang...lagipun Tina ni bukan anak.....” Belum sempat aku menghabiskan kata-kataku, mama terlebih dahulu berkata, “ Tina anak mama dunia dan akhirat,” Aku hanya mendiamkan diri. Aku menahan rasa dalam hati.
“Assalamuailaikum,” kami dikejutkan dengan suara dari luar. Rupa-rupanya papa.
“Waailaikumussalam bang,” mama membalas salam papa sambil tersenyum. Aku hanya membatu. Rasa sakit hati masih tebal. Aku benci. Benci kepada Badrul dan mama juga.
Aku melihat ke arah papa. Aku lihat satu bungkusan makanan ditangan papa. Papa memang seorang lelaki yang baik. Meskipun sibuk di pejabat, tetapi papa masih sempat bersama mama untuk makan tengahari bersama. Selalu sahaja papa membelikan mama makanan tengahari. Aku tahu papa sangat menyayangi mama. Oleh sebab kasih sayang papa yang terlalu tebal untuk mama, aku cuba untuk menerima mama.
Setelah mama bersalaman dengan papa kami semua masuk ke dalam kedai. Tanda tutup di depan pintu masih belum mama alihkan. Mama terus mengambil makanan dari papa dan meletakkan dalam bekas atas meja di sudut dinding kedai. Aku hanya melihat. Tiada rasa untuk membantu kerana aku masih sebal dengan peristiwa tadi. Ketika makan tiba-tiba mama bersuara.
“Tina, mama dengan papa ada sesuatu nak cakap dengan Tina”, suara mama lembut dan agak perlahan.
“Ape ma?” aku bertanya seraya memandang mama. Kemudian aku berkalih ke arah papa. Papa hanya tersenyum.
“Mama dengan papa dah setuju untuk ambil Badrul sebagai anak angkat. Mama harap Tina tak kisah. Mama dan papa kesiankan Badrul. Dia perlukan masa depan yang lebih terjamin,”
Tutur mama dengan lambat-lambat. Aku tersedak. Kata-kata mama bagaikan langit yang runtuh lalu menghempas dadaku. Sungguh aku terpana. Aku kesal dan marah. Semudah itu mama dan papa membuat keputusan tanpa berbincang dengan terlebih dahulu. Mana mungkin aku menerima insan yang aku benci sebagai adik.
“Tidak!!! Tina tak setuju, tina bencikan dia! Kalau mama sayangkan Badrul, mama boleh ambil dia sebagai anak mama tetapi bukan menumpang di rumah papa!” aku menjerit lantang. Lantas aku bangun dan menolak pinggan berisi nasi di depanku.
“Mama memang sengaja nak sakitkan ati Tina. Mamakan tau Tina tak suka Badrul. Kenapa ma? Kenapa? Kenapa mama tak pernah nak fikirkan perasaan Tina? Mama tau tak Tina malu punya mama sebagai mama Tina. Mama tak membanggakan Tina!! Tina hanya terima mama sebab papa!! Tina benci mama!!” aku melepaskan segala rasa yang terbuku. Aku benci mama!
Pang!! Pipiku terasa pijar. Sakit dipipiku lebih terasa daripada sakit hati yang ku tanggung. Sampai hati papa memukulku hanya disebabkan mama. Aku memandang mama dengan rasa benci. Mama hanya melihatku sayu dengan genangan air mata. Aku berlari keluar.  Benciku pada Badrul dan mama kini memuncak. Disebabkan mama, aku dilempang papa. Aku menangis sepuasnya.
Sedang aku berlari, tiba-tiba aku berasa badanku ditolak ke tepi. Hampir-hampir sahaja aku tersungkur. Serentak itu juga, terdengar satu dentuman kuat dari belakangku. Aku menoleh. Mama!!! Aku lihat darah memenuhi tubuh mama yang telah terbaring di atas jalan.
“Sudahlah Tina, jangan menangis lagi,” lamunanku dikejutkan suara papa.
Aku memandang papa, aku memeluk papa. Lalu aku menangis lagi. Maafkan Tina papa. Kalau tidak kerana Tina, mesti mama tidak terlantar sakit. Tapi, suaraku bagaikan tersekat di anak tekak. Tidak terkeluar. Hanya tangisanku sahaja yang berbunyi.
“Tina, papa tahu Tina tak sukakan mama. Tetapi mamamu itulah yang banyak berjasa pada kita. Bukan paras rupa papa cari. Papa sayangkan mama kerana mamamu memiliki sekeping hati emas yang tiada pada orang lain. Papa yakin, Tina juga seperti mama kerana sebahagian hati emas mamamu itu ada dalam dirimu nak...” kata-kata papa membuatkan aku tercengang.
Aku memandang papa dengan tanda tanya. Papa cuma menganggukkan kepalanya. Lantas aku meluru ke arah mama di atas katil. Aku memeluk mama erat.
“Mama, maafkan Tina,” lirihku sendu.
Aku menangis didada mama. Sedang aku membuang tangis, aku berasa jemari mama erat mengenggam tanganku. Aku memandang wajah mama. Mama mulai sedar. Mama tersenyum kepadaku lesu. Aku memeluk mama lebih erat lagi. Ya Allah, terima kasih kerana menyedarkan diriku yang alpa dengan nikmat-Mu selama ini. Sesungguhnya jika ada sejuta mama pun yang datang selepas ini, aku tetap memilih mamaku ini. Meskipun mama ini bukanlah mama kandungku....




1 comment:


  1. index:obathammer.id
    index:obatkuatcialis.id
    index:jualmaxman.com
    index:obathammerofthor.id

    ReplyDelete

terima kasih... datang lagi