oleh: Nurfairuz Binti Mohd Asri
Semester 4 sesi 2010/11
ISMP Bahasa Melayu, UPSI
Semester 4 sesi 2010/11
ISMP Bahasa Melayu, UPSI
Suasana pada malam itu hening sekali. Kedengaran suara cengkerik berlagu rindu memecah keheningan malam. Jam di kamarku menunjukkan tepat pukul 4 pagi. Aku melangkah longlai menuju ke bilik air untuk membasahkan diriku dengan wudu’. Tikar sejadah telah kubentangkan untuk mengadap Sang Pencipta. Lama aku berteleku ditikar sejadah memanjatkan doa kepada Dia Yang Maha Esa.Tiba-tiba hatiku diruntun hiba. Tanpa aku sedari, air mata jernih telah gugur membasahi pipiku.
“Sabarlah kakak...Allah lebih sayangkan adik...terimalah qada’ dan qadar yang telah ditetapkanNya”.
Kata-kata ibu itu masih terngian-ngiang di benak telingaku. Sehingga kini aku masih tidak dapat menerima kenyataan tentang pemergian insan yang aku sayang dan aku cintai iaitu adik aku sendiri. Namun aku redha. Aku pasrah dengan segala-segalanya.
Suasana hening pada malam itu berlalu dengan linangan air mataku. Butir-butir jernih makin laju gugur ke bumi apabila terkenangkan arwah adik.
“Kakak...adik nak duit 20 sen...nak beli aiskrim”. Pinta adikku
“Akak tak ada duit la dik....minta pada abah la...akak nak tido ni. Pergi main jauh-jauh!!”.
Aku menjawab pertanyaan adik dengan kasar. Diriku terasa begitu penat pada saat itu dan tidak mahu diganggu.
Sekali-sekala aku menyeka air mata yang gugur di pipiku apabila mengenangkan sikapku terhadap adik. Aku tidak menyangka petang itulah merupakan hari terakhir aku berbicara dengannya. Mukanya tidak dapat kutatap kerana diriku terlalu penat. Aku begitu menyesal.
“Ya Allah...Ya Rabbi...Sesungguhnya aku kesal dengan diriku ini. Ampunkanlah hamba-Mu ini”. Bisik hati kecilku.
Tangisanku menjadi semakin kuat. Air mata jernih gugur tanpa henti dengan lajunya di tikar sejadah. Aku tidak dapat menahan lagi.
“Assalamualikum....assalamualaikum...”
Aku terdengar suara dan ketukan pintu dari luar rumahku. Tidurku pada petang itu terganggu.
“Ahhhh!! Siapa yang buat bising ini....tak boleh tengok orang senang sikit...”
Aku bangkit dari tidur dengan perasaan marah. Lalu kucapai tudung dan terus ke ruang tamu rumah.
Aku menjadi kaget. Kaget apabila melihat orang kampung berada di luar rumahku. Mereka kelihatan seperti ingin menyampaikan berita yang bakal membuatkan jantungku terasa kencang. Namun aku gagahkan hatiku ini dan sentiasa berfikiran positif.
“Adik...emak dan abah ada tak?”. Tanya salah seorang daripada mereka
“Um...maafla pak cik...abah tak ada...ibu sahaja yang ada...Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”. Jawabku dengan sopan.
Tanpaku sedari, ibuku telah muncul dan terus bertanya kepada mereka. Hatiku luluh bak dipanah halilintar tatkala mendengar berita yang disampaikan mereka. Tidak kusangka pertemuan sebentar tadi adalah pertemuan terakhir antara aku dan adik. Aku tidak dapat berkata-kata dan kelihatan ibu lemah secara tiba-tiba lalu rebah ke lantai. Ibu pengsan. Suasana menjadi cemas seketika.
Dalam keadaan yang cemas itu, aku menelefon abah untuk memaklumkan perkara yang sebenar kepadanya.
“Hello abah...balik ke rumah cepat...adik lemas!!.. Pintaku dalam keadaan yang cemas.
“Ya Allah...macam mana boleh jadi begitu....ok, abah balik sekarang!!...Jawab abah dalam nada bimbang.
Dalam masa 15 minit, kedengaran bunyi enjen kereta abah. Aku bergegas turun untuk mendapatkannya. Aku nyatakan kepadanya adik masih di tempat kejadian. Tanpa berfikir panjang, abah terus meluru ke sana. Sesampai di sana, aku melihat orang kampung sedang memberi bantuan pernafasan kepada adik. Namun, bantuan yang diberikan tidak dapat membantu menyedarkan adik. Aku terpana seketika apabila melihat tubuh adik yang tidak bermaya. Tanpa berlengah lagi, abah mendorong adik masuk ke dalam keretanya untuk dibawa ke hospital. Harapan kami semua amat tinggi. Kami berharap agar adik dapat membuka mata biarpun buat terakhir kalinya.
Dalam perjalanan ke hospital, mulutku tidak pernah berhenti berdoa kepadaNya agar dipanjangkan umur adik. Aku berdoa sambil menatap wajah adik yang kelihatan kebiru-biruan kerana terlalu lama berada di dalam air. Setibanya di hospital, adik diperiksa. Betapa terkejutnya aku dan keluarga tatkala diberitahu adik tidak dapat diselamatkan lagi. Air mata jernih jatuh berguguran dari kelopak mataku. Doa yang kupinta padaNya tidak dimakbulkan. Namun, aku pasrah dengan ketentuan yang telah ditetapkan.
Guguran air mataku pada malam ini menjadi saksi betapa rindunya aku pada adik.
“Ya Allah....Engkau tempatkanlah adikku dalam kalangan orang-orang yang beriman...Sesungguhny Engkaulah Tuhan semesta alam”.
Doaku panjatkan pada Sang Pencipta agar rinduku padanya tidak melebihi rinduku pada Ilahi. Namun, pemergianya ke alam barzakh sangat dirasai oleh kami sekeluarga. Abah, merupakan insan yang paling rapat dengan adik. Aku sedih melihat wajah hiba abah tatkala jenazah sampai di rumah.
Malam itu merupakan malam terakhir adik bersama kami. Betapa bermaknanya saat-saat terakhir bersama adik walaupun adik kini hanyalah sekadar sekujur tubuh yang tidak bernyawa lagi. Dengan linangan air mata, kutatap wajah adik. Adik kelihatan tenang sekali di pembaringannya.
Suasana pada malam itu sungguh hiba. Yang hanya kedengaran hanyalah alunan merdu bacaan Yassin oleh ahli keluarga kami. Kusedekahkan Al-fatihah dan bacaan Yassin buat adik dengan linangan air mata dan esak tangis yang tidak tertahan lagi. Lalu, ibu mendekatiku.
“Kakak...tabahkan hati...jangan menangis dihadapan adik...tangisan kakak akan membuatkan adik terseksa di alam sana nanti...redhakanlah pemergiannya...dengar cakap ibu ya...”
Kata-kata ibu membuatkan aku tersentuh dan aku tidak dapat lagi menahan kesedihan yang bertakung dilubuk hatiku ini.
“Namun untuk ketenangan adik, akan akak usir kesedihan yang menghantui jiwa akak pada masa ini”. Getus hati kecilku.
Kuseka air jernih yang berguguran itu agar ibu dan abah tidak terasa kesedihannya juga.
Lamaku berteleku di tikar sejadah mengadap Dia Yang Maha Esa. Usai solat, kucapai senaskhah al-quran dan mengalunkannya. Aku berharap agar diriku akan menjadi tenang. Tenang setenang air di lautan tatkala dapat mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran. Namun, harapan ku hampa. Hampa kerana kenangan lalu masih menghantui diriku yang lemah ini. Bacaan yang kubaca pada malam ini tersekat-sekat kerana esak tangisku yang tiada penghujungnya. Rinduku pada adik makin bertambah.
“Ibu...kenapa adik pergi dulu..? Adik terlalu muda ibu.....Sepatutnya akak yang pergi dulu...” Soalan itu aku ajukan kepada ibu.
“Kakak....maut tidak mengenal sesiapa pun...apabila ajal tiba, kita terpaksa menerimanya...” Ibu menjawab dengan tenang.
Kata-kata ibu membuatkan aku terdiam. Diam seribu bahasa. Kupandang jenazah adik. Sungguh suci raut mukanya. Air mataku mengalir lagi. Kali ini, aku biarkan kesedihan menghantui diriku. Nasihat daripada keluarga tidak lagi kudengari. Yang aku dambakan hanyalah kasih daripada seorang adik yang kini tidak akan kembali. Aku tahu, tangisan aku itu tidak akan dapat menyedarkan orang yang telah meninggal dunia. Namun, aku puas.
“Ya Allah...Begitu perit rasanya tatkala kehilangan orang tersayang”. Bisik hatiku
Wajahku pada malam itu kelihatan sungguh tidak bermaya. Aku langsung tidak menjamah apa-apa makanan walau sebutir nasi sekalipun. Seleraku mati apabila menerima berita kematian adik. Tiba-tiba ku terdengar sayup-sayup suara ibu dari celah-celah orang ramai.
“Kakak...makanlah sikit...nanti kakak pula yang sakit”. Nasihat ibu kepadaku.
“Tidak mengapalah ibu...kakak tak ada selera nak makan...ibu makanlah...” Jawabku endah tidak endah.
Nasihat ibu tidak kudengari. Aku tahu ibu mesti kecewa dengan sikap aku itu. Namun, aku tidak ambil peduli semua itu. Yang aku mahukan saat ini ialah sentiasa berada disamping adik. Aku mahu meniti saat-saat terakhir bersamanya.
Tirai malam pada malam itu berlabuh dengan alunan merdu bacaan Yassin yang tidak putus-putus daripada sanak-saudaraku. Jelas kelihatan, tidak lekang di bibir masing-masing menyedekahkan ayat-ayat suci Al-quran kepada adik.
Pada keesokan harinya, jenazah adik akan dikebumikan. Sebelum keranda diusung ke tanah perkuburan, aku sempat lagi memberi ciuman terakhir kepada adik.
“Kakak...ciumlah adik buat terakhir kalinya....” Kata ibu kepadaku dalam perasaan yang sebak.
Aku mengucup dahi adik sepuas-puasnya. Aku ingat lagi pesan orang tua-tua bahawa, tidak elok sekiranya air mata jatuh ke pipi jenazah di saat kita memberi ciuman terakhir kepadanya. Lalu, sebelum aku mengucup dahi adik, aku menyeka butir-butir kaca jernih yang mengalir ke pipiku. Aku redha dengan ketentuanNya. Sesungguhnya Dia lagi berhak ke atas diri adikku. Setiap yang hidup pasti akan mati. Kata-kata itu membuatkan aku redha dengan pemergiannya.
Setelah selesai jenazah adik dikapan dan disembahyangkan, aku mengiringi jenazah hingga ke tanah perkuburan. Aku melihat adik dikeluarkan dari keranda dan dimasukkan ke dalam liang lahad yang telah digali oleh orang kampung. Tiba-tiba hatiku terasa sebak. Sebak bila melihat adik dikebumikan. Tidak ku sangka air mata jernih gugur sekali lagi dipipiku.
Aku tatap wajah abah dan ibu. Mereka juga kelihatan sedih dan tidak bermaya. Kesedihan kami sekeluarga tidak dapat dibendung lagi tatkala melihat jenazah adik selesai dikebumikan. Namun, kami redha. Redha dengan segala-galanya. Qada’ dan qadar Allah telah menentukan segala-galanya. Mungkin ini juga merupakan ujian buat kami sekeluarga. Kami akan tabah menerimanya.
“Jom la kita balik kakak...hari nak hujan ni....” tak elok anak dara tinggal keseorangan dekat kubur ni...” Nasihat abah kepadaku.
“Abah balik la dulu...nanti kakak menyusul...lagipun rumah kita kan dekat sahaja” Jawabku dengan tenang.
Abah kemudian pulang dan meninggalkan diriku keseorangan di kawasan tanah perkuburan. Aku meramas-ramas tanah merah di atas perkuburan adik. Kini, aku tidak dapat lagi bersama adik. Hilai tawa dan senda gurau adik kini lenyap untuk selama-lamanya.
Aku menghabiskan bacaan terakhir ayat-ayat suci al-quran pada malam yang hening itu. Aku tidak mahu bacaan aku menjadi salah disebabkan esak tangisku sebentar tadi. Lalu, kugagahkan diriku ini untuk menatap foto arwah adik. Tiba-tiba, mataku tertumpu pada wajah adik sewaktu dia dibangku sekolah. Seingatku adik sempat belajar di tadika selama 2 bulan sahaja. Ajal datang menjemputnya terlalu awal.
“Kakak...cantik tak baju sekolah adik...adik nak pergi sekolah esok....” Adik berkata kepadaku dengan hati yang riang setelah mendapat baju baru.
“Cantik la.....nanti belajar rajin-rajin tau kat sekolah..” Nasihatku kepada adik.
Arwah adik merupakan seorang kanak-kanak yang periang. Dia memang gemar belajar. Namun ajal yang datang terlalu awal mematikan cita-citanya untuk menjadi seorang insan yang berjaya kelak.
Kini, genaplah 5 tahun adik pergi meninggalkan kami semua. Selama tempoh itulah kami menanggung rindu terhadapnya. Rindu terhadap adik jelas terpancar tatkala berkumandangnya takbir raya. Kini, raya yang kami sambut tidak semeriah dulu lagi. Kehilangan orang yang amat dikasihi jelas terasa ketiadaannya. Namun, kami terima ketentuan Ilahi.
Kedengaran azan subuh berkumandang dari masjid bersebelahan. Aku meletakkan foto adik di atas katil dan terus menunaikan rukun islam ke dua yang dituntut dan wajib ke atas umat Islam untuk mengerjakannya. Ketika solat, aku panjatkan doa kepada Dia Yang Maha Esa. Aku tidak putus-putus berdoa kepadaNya kerana kutahu Dia yang berhak atas apa yang berlaku di dunia ini. Dalam doaku, aku pohon agar adik ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Bibirku tidak pernah lekang mendoakan untuk adik dalam setiap solat lima waktuku. Dari setiap bait doa itulah, air mataku berguguran kerana terlalu merinduinya.
Usai solat subuh, aku turun ke bahagian dapur untuk menolong ibu menyiapkan sarapan pagi.
Ketika kami sedang sibuk menyediakan sarapan pagi, aku menyatakan kerinduanku terhadap adik kepada ibu. Ibu mendengar luahan hatiku dengan tenang sekali. Tiba-tiba ibu bersuara.
“Kakak...apa kata kita buat tahlil untuk arwah adik..mungkin rindu kita boleh terubat...” Cadang ibu kepada aku.
“Um....betul juga tu ibu...nanti ibu cakap la pada abah ya...” Jawabku dengan nada gembira.
Ketika sarapan pagi bersama-sama, ibu mencadangkan hasrat kami itu kepada abah. Abah juga bersetuju.
InsyaAllah, pada malam esok majlis tahlil sempena mengingati arwah adik akan diadakan.
Ramai sanak-saudara dan rakan taulan telah kami jemput. Dengan adanya majlis sebegini, rinduku padanya dapat dikurangkan. Rinduku pada adik tidak akan lenyap walaupun berabad-abad lamanya. Adik akan sentiasa berada di dalam hatiku sampai ke akhirnya. Aku terima pemergian adik dengan seadanya. Qada’ dan qadar Allah adalah segala-galanya dan aku tidak dapat menafikannya. ﻜﻞﻧﻔﺲﺯﺍﺌﻗﺖﺍﻟﻤﻭﺖ ) Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati).
No comments:
Post a Comment
terima kasih... datang lagi