oleh: Siti Azimah Binti Mohd Hanafi
Semester 4 sesi 2010/11
ISMP Bahasa Melayu, UPSI
Semester 4 sesi 2010/11
ISMP Bahasa Melayu, UPSI
Silau mentari menembusi mata
Pancarannya membakar tubuh si kerdil
Tetap menapak dengan penuh gagah
Biarpun capik kakinya
Pelindung tubuh carik dan lusuh
Warnanya yang sepatutnya cerah tetapi kini pudar
Tompok-tompok tanah jelas terpapar
Hanya itu harta yang tinggal
Sebagai kenangan dari yang tersayang
Atur langkahnya perlahan
Kantung lusuh tersandang dibahu
Entah apa isinya
Meredah lautan manusia
Menuju ke lorong rezeki yang tiada berpenghuni
Apa yang tinggal hanya hamparan sampah
Tetapi itulah rezekinya
Biarpun semakkan suasana
Dicemuh kerana baunya yang menusuk
Itu tetap rezekinya
Dikuis, diasingkan, tin dan botol menjadi pilihan
Tangannya lincah mengutip rezekinya itu
Terpandang pili dipinggir mata
Diputarnya sehingga memuntahkan cairan jernih
Menghempas tin juga botol kosong
Melucutkan kotoran disekelilingnya
Terpalit senyuman dibibir si kerdil
Cantik, bersih, sudah boleh dijual
Dengan penuh harapan dan impian
Moga-moga rezeki kali ini lebih berbanding sebelumnya
Hanya pada Tuhan dipanjatkan harapan
Mohon keberkatan dalam setiap perbuatan
Bukan mengharapkan kekayaan
Hanya secebis kasihMu Tuhan.
No comments:
Post a Comment
terima kasih... datang lagi