1.0 Konsep
Tugasan kali ini memerlukan saya mengkaji berkaitan imbuhan kata kerja aktif. Sebelum saya menerangkan dengan lebih lanjut hal yang berkaitan tajuk ini, terlebih dahulu kita lihat definisi kata kerja dan imbuhan dari sudut pandangan beberapa orang pengarang.
Kata kerja merupakan perkataan yang menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu atau perkataan yang menjadi perkataan atau perkataan inti dalam binaan atau konstruksi frasa kerja (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007:181). Selain itu, beliau membahagikan kata kerja kepada dua golongan iaitu kata kerja aktif dan kata kerja pasif. Menurut Asmah Haji Omar dalam bukunya “Nahu Mutakhir Melayu”, kata kerja didefinisikan sebagai kata yang berfungsi pada predikat dalam ayat. Asmah membahagikan jenis kata kerja kepada kata kerja leksikal dan kata kerja bantu.
Ahmad Khair Mohd Nor menerangkan hal kata kerja dalam bukunya “Pembentukan Kata dalam Bahasa Melayu” bahawa Za’ba memberi penjelasan tentang perbuatan dari sudut makna iaitu perkataan menyebut perbuatan yang dikerjakan atau keadaan yang diadakan (Ahmad Khair Mohd Nor , 2007:67). Dalam bukunya lagi, turut menyatakan pandangan daripada Nik Safiah Karim et al, (1993:558) yang berkaitan dengan kata kerja. Nik Safiah berpendapat kata kerja ialah perkataan yang menunjukkan sesuatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu, menjadi perkataan utama dalam binaan prasa kerja (Ahmad Khair Mohd Nor , 2007:67).
Imbuhan membawa definisi bentuk morfem terikat yang digabungkan atau dicantumkan pada kata dasar dalam proses pembentukan kata atau bentuk morfem bebas atau kata dasar dalam ayat (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007:161). Percantuman imbuhan dengan sesuatu bentuk kata menyebabkan fungsi tatabahasa atau nahu berubah. Terdapat empat jenis imbuhan dalam bahasa Melayu iaitu imbuhan awalan, akhiran, apitan dan sisipan.
Secara keseluruhannya, imbuhan kata kerja aktif sebenarnya ialah perkataan kata kerja yang bergabung dengan imbuhan untuk melambangkan sesuatu perbuatan atau kerja atau kata kerja yang menandakan perbuatan dalam frasa yang berstruktur pelaku-perbuatan-objek dan mempunyai imbuhan sama ada jenis imbuhan awalan, akhiran dan apitan.
2.0 Bentuk
2.1 Imbuhan awalan meN- dengan kata kerja
Imbuhan jenis ini membentuk kata kerja tak transitif dan kata kerja transitif. Selain itu, imbuhan awalan meN- ini mempunyai bentuk-bentuk yang berlainan. Antaranya ialah me-, mem-, men-, meng-, meny- dan menge-.
2.1.1 meN- menjadi me-
Menurut Nik Safiah Karim et al, dalam Tatabahasa Dewan edisi ketiga, meN- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf m, n, ny, r, l, w dan y (2010:151). Contohnya:
makan - memakan
nilai - menilai
nyala - menyala
nganga - menganga
layan - melayan
waris - mewarisi
yakin - menyakinkan
Manakala menurut Ahmad Khair Mohd Nor dalam bukunya Pembentukan Kata dalam Bahasa Melayu menerangkan awalan meN- menjadi me- jika bercantum dengan perkataan yang bermula dengan huruf m, n, ny, ng, r, l, w dan y.
Perbezaan yang dapat dilihat daripada pandangan kedua-dua penulis ini adalah penggunaan huruf ng dalam pembentukan imbuhan me-. Terdapat juga kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf tertentu bertukar membentuk sengauan apabila menggunakan imbuhan meN-. Huruf-huruf tersebut ialah k, s, p dan t yang akan membentuk bunyi sengauan iaitu ng, ny, m dan n. Contohnya:
kalah - mengalah
sapu - menyapu
pukul - memukul
tanya - menanya
2.1.2 meN- menjadi mem-
Imbuhan mem- terbentuk apabila kata dasar sesuatu perkataan bermula dengan huruf b dan perkataan pinjamannya yang bermula dengan huruf p, f dan v. Contohnya:
bantu - membantu
fitnah - memfitnah
proses - memproses
veto - memveto
Selain itu, terdapat juga beberapa perkataan yang bermula dengan huruf p yang menerima awalan mem- dan dianggap kecualian (Nik Safiah Karim et al, 2010:153). Contohnya:
pelopor - mempelopori
pelawa - mempelawa
percaya - mempercayai
punya - mempunyai
peduli - mempedulikan
2.1.3 meN- menjadi men-
Kata dasar yang bermula dengan huruf c, d, j, sy dan z akan membentuk men- apabila bercantum dengan imbuhan meN-. Turut terlibat dengan pembetukan ini adalah perkataan yang hurufnya bermula dengan huruf t dan s. Contohnya:
cari - mencari
dayung - mendayung
jual - menjual
syirik - mensyirikkan
zalim - menzalimi
takrif - mentakrif
stabil - menstabilkan
Nik Safiah Karim et al (2010:154) bersependapat dengan Ahmad Khair Mohd Nor (2007:86) bahawa terdapat juga kecualian pada bentuk kata dasar. Contohnya:
ternak - menternak
tertawa - mentertawa
2.1.4 meN- menjadi meng-
Kata dasar yang bermula dengan huruf a, e, i, o, u, gh, kh dan h juga perkataan pinjaman yang bermula dengan huruf k akan berubah bentuk menjadi meng- apabila bercantum dengan awalan meN-. Contohnya:
ambil - mengambil
ejek - mengejek
intai - mengintai
olah - mengolah
ubat - mengubat
ghairah - menghairahkan
khayal - mengkhayalkan
hilang - menghilang
Terdapat juga perkataan pinjaman yang mengekalkan huruf pertamanya untuk mempertahankan etimologi kata asalnya (Nik Safiah Karim et al, 2010:155). Antara contohnya ialah:
kabul - mengkabulkan
katalog - mengkalatogkan
kritik - mengkritik
2.1.5 meng- menjadi menge-
Kata dasar yang mempunyai satu suku kata sama ada perkataan Melayu ataupun pinjaman akan menjadi menge- setelah ditambah dengan imbuhan awalan meng-, sebagai contoh:
cat - mengecat
sah - mengesah
lap - mengelap
had - mengehadkan
pam - mengepam
tin - mengetin
Kecualian pada kata pinjaman dapat dilihat pada kata pinjaman yang bermula dengan huruf konsonan iaitu awalan meng- tidak berubah menjadi menge-. Contohnya:
stor - menstor
brek - membrek
klip - mengklip
2.2 Imbuhan awalan teR- dengan kata kerja
Penggunaan imbuhan teR- membentuk kata kerja transitif, kata kerja tak transitif dan kata kerja pasif. Kata kerja yang dibentuk dengan awalan teR- terdiri daripada dua jenis iaitu kata kerja aktif dan kata kerja pasif. Fokus diberilan kepada kata kerja aktif , penggunaan imbuhan ini akan membentuk kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif diikuti dengan penyambut. Contohnya:
buang - terbuang
tarik - tertarik
beli - terbeli
Kata kerja tak transitif pula merupakan kata kerja yang berimbuhan awalan teR- tidak memerlukan objek selepasnya. Selain itu, ianya diikuti oleh unsur keterangan.
2.3 Imbuhan awalan memper- dengan kata kerja
Sesuatu perkataan boleh menjadi kata kerja aktif transitif apabila bergabung dengan imbuhan awalan memper-. Contohnya:
memperalat memperkemas memperhamba
2.4 Imbuhan akhiran -kan dan akhiran -i dengan kata kerja
Kedua-dua imbuhan akhiran ini akan membentuk kata kerja transitif. Contohnya:
Akhiran -an
terangkan gorengkan ambilkan
Akhiran -i
dekati kahwini masuki
2.5 Imbuhan apitan kata kerja
Imbuhan ini juga dikenali sebagai imbuhan terbahagi iaitu apitan yang hadir pada awal dan akhir kata dasar secara serentak. Penambahan imbuhan apitan ini akan membentuk kata kerja transitif. Pertama ialah apitan meN-…-kan yang terdiri daripada lima pecahan seperti me-…-kan, mem-…-kan, men-…-kan, meng-…-kan dan menge-…-kan. Contohnya:
me-…-kan
mewarnakan melagukan meramaikan
mem-…-kan
mempertahankan memfatwakan membawakan
men-…-kan
menjadualkan menceriakan mensia-siakan
meng-…-kan
mengelakkan mengindahkan menggayakan
menge-…-kan
mengesahkan mengekhaskan mengehadkan
Selain itu, terdapat juga imbuhan apitan meN-…-i yang terdiri kepada beberapa bahagian iaitu me-…-i, mem-…-i, men-…-i dan meng-…-i. Berikut merupakan contoh-contohnya:
me-…-i
melingkari melindungi mewarisi
men-…-i
menjalani mencurahi menduduki
mem-…-i
mempunyai membaharui membohongi
meng-…-i
mengawasi mengikuti mengairi
Seterusnya, apitan beR-…-kan akan membentuk kata kerja tak transitif yang hanya terdapat satu bentuk sahaja iaitu beR-…-kan. Menurut Ahmad Khair Mohd Nor, imbuhan apitan ini berasal daripada kata kerja berawalan beR- yang diikuti oleh kata sendi tentang, akan, pada, kepada dan dengan. Kata sendi tersebut berubah menjadi akhiran -kan sahaja. Contohnya:
bersenjatakan bertemakan berpandukan
2.6 Imbuhan sisipan kata kerja
Menurut Nik Safiah Karim et al (2010:217), menyatakan dalam bahasa Melayu tidak ada sisipan yang dapat membentuk kata kerja tetapi bentuk perkataan yang terdiri daripada kata nama dan kata adjektif yang mengandungi sisipan dapat dijadikan kata kerja. Manakala, menurut Mohd Khair Mohd Nor, kata nama dan kata adjektif akan menjadi sisipan kata kerja apabila melalui proses pengimbuhan. Jelasnya disini sesuatu perkataan sama ada kata nama atau kata adjektif yang menerima imbuhan sisipan akan membentuk kata kerja. Terdapat tiga bentuk sisipan iaitu -el-, -er-, -em-.
Sisipan -el-
jajah - jelajah - berjelajah - menjelajah
sisipan -er-
sabut - serabut - berserabut
sisipan -em-
guruh - gemuruh - bergemuruh
3.0 Kesimpulan
Kesimpulannya kata kerja aktif berbeza dengan golongan kata yang lain sepeti kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Hal ini kerana kata kerja melambangkan sesuatu perbuatan terutamanya apabila wujudnya penambahan imbuhan, antaranya ialah imbuhan awalan, akhiran dan apitan. Dalam bahasa melayu tidak ada sisipan yang dapat membentuk kata kerja. Namun demikian bentuk perkataan yang terdiri daripada kata nama dan kata adjektif yang mengandungi sisipan dapat dijadikan kata kerja melalui proses pengimbuhan (Nik Safiah Karim et al, 2010:217). Penambahan imbuhan dalam kata kerja menjadi penentu jenis ayat iaitu sama ada sesuatu ayat itu adalah ayat aktif atau ayat pasif. Pengguna bahasa juga perlu mematuhi kecualian yang telah ditetapkan dalam pengimbuhan kata kerja aktif bagi mengelakkan berlakunya kesalahan dalam sesuatu ayat.
4.0 Bibliografi
Ahmad Khair Mohd Nor (2007). Pembentukan Kata Dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.
Asmah Haji Omar (1993). Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, Hashim Hj. Musa, dan Abdul Hamid Mahmood (2010), Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sulaiman Masri dan Ahmad Khair Moha Nor (2006). Tatabahasa Melayu Mesra Pengguna Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Utusan Publication dan Distributors Sdn Bhd.
Zaenal Arifin, Junaiyah H.M dan M.Hum. (2007). Morfologi: Bentuk, Makna dan Fungsi. Indonesia: Penerbit PT Grasindo.
pak mau tanya klo mengepam buat kalimatnya gimna ??
ReplyDelete