I made this widget at MyFlashFetish.com.

Showing posts with label CERPEN. Show all posts
Showing posts with label CERPEN. Show all posts

Monday, 28 March 2011

Cahaya Syurga

oleh: Nurulain Binti Mohamad Zin
Semester 4 sesi 2010/11
ISMP Bahasa Melayu, UPSI


Gelap. Nurul Jannah merenung di sekitar bilik itu. Dia tidak tahu kenapa dia berada dibilik tersebut. Dia keseorangan dan berjalan-jalan disekitar bilik. Tiba-tiba, dia melihat ada dua orang rakan baiknya iaitu Rina dan Amir berada di bilik tersebut. Mereka  sedang membaca Yassin untuk seseorang. Kenapa mereka tidak sedar akan kehadiranku? Dia tertanya-tanya siapa orang yang sedang ditutup keseluruh tubuhnya seperti orang yang telah meninggal dunia. Dia terus membuka kain untuk melihat dan alangkah terperanjatnya bahawa orang tersebut adalah dirinya sendiri.  Dia sangat takut.
“Ya Allah, Astagfirullahilazim....”Nurul Jannah terbangun daripada tidurnya. Rupa-rupanya,dia telah bermimpi. Dia terus menangis teresak-esak. Mungkin ini adalah petunjuk untuk dia atas kesilapan yang telah dia lakukan.
“Kenapa, Jannah? Awak ok?”Tanya Rina,kawan sebiliknya merangkap kawan baiknya. Rina berasa risau melihat  Jannah yang sedang menangis.
“Tidak ada apa-apa. Mimpi je”. Katanya. Jannah tidak mampu menceritakan apa yang dia rasakan tika ini.
“Mimpikan hanya mainan tidur. InsyaAllah, tak ada apa-apa pun. Sebelum tidur baca doa terlebih dahulu tau untuk jadikan sebagai pendinding bagi diri kita” nasihat Rina kepada Jannah. Jannah hanya senyap sepi.
Rina pun kembali ke tempat  tidur semula. Sebaliknya, Jannah masih memikirkan mimpi tadi. Dia berasa takut. Segera ini, Jannah teringat kisah silamnya yang penuh dengan dosa dan kehinaan.
“Wah,syok betul tempat ni. Boleh joget, berhibur, nyanyi. Hilang tension aku. Bagusla kau. Betul-betul memahami”. Kata Jane kepada Zack. Nama Jane merupakan panggilan rock Jannah. Jannah tidak suka orang memanggilnya Jannah. Geli katanya.
“Biasa la.siapa tak kenal Zack. Tempat ni dah macam rumah kedua aku. Memang best lepak sini”. Kata Zack dengan senyuman. Lampu berwarni-warni memancar ke tempat itu. Tempat itu di penuhi dengan manusia yang tidak bermoral dan hancur.  Jane sedang rancak menari dengan entah siapa sambil menghisap rokok.
Jane selalu pulang lewat ke asrama. Dia selalu di tegur oleh pak cik jaga yang menjaga kawasan asrama di kolej tempat Jane belajar. Walaupun sudah beberapa kali ditegur, Jane tetap buat tidak tahu seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Semasa Jane masuk ke bilik, dia melihat Rina sedang menunaikan solat sunat. Rina menegur Jane setelah usai menunaikan solat sunat.
“Awak baru pulang? tanya Rina.
“Kau tak nampak ke? Soalan Rina tidak dijawab malah pertanyaan yang dibalas sambil mencampakkan jaketnya ke atas katil. Dia terus merebahkan diri.
“Dah solat isyak? Tanya Rina lagi.
“Kau sibuk apa pasal. Suka hati aku la. Hidup aku. Kau jangan nak campur urusan aku. Kau nak sembahyang, sembahyang je lah”. Jane memarahi Rina. Rina hanya diam dan bersabar dengan kata-kata tersebut. Rina hanya mampu menggeleng kepala melihat sikap Jane yang seperti hilang arah tuju.
Begitulah kehidupan Jane setiap malam. Hanya tahu membuang masa dan berseronok sahaja sehingga mengabaikan pelajaran. Kadang-kadang, Jane tidak pergi ke kelas. Dia hanya tahu tidur sepanjang masa kerana kepenatan akibat pulang lewat. Pelajaran Jane semakin hari semakin merosot dan dia sudah beberapa kali mendapat surat amaran daripada pihak kolej. Tetapi, Jane memandang dengan sebelah mata sahaja kerana dia tahu ibu bapanya boleh menyelesaikan. Telefon Jane menjerit-jerit untuk diangkat.
“Hello, mama. Ada apa telefon pagi-pagi ni?. Jane mengantuk la”. tanpa memberi salam, Jane menyapa ibunya dengan suara yang agak serak-serak dan seperti orang mamai.
“Apa?mengantuk? Kenapa tidak pergi kuliah? Pergi mana semalam?. Bermacam-macam soalan yang ditanya oleh Datin Maria. Dia berasa berang dengan perangai anaknya yang tidak pernah mahu mendengar nasihatnya.
“Ala mama nih...Bising je pagi-pagi nih. Orang nak tidur ni, kacau pulak”. Balas Jane.
“Mama tak kira. Bangun sekarang dan pergi kelas. Nak jadi apa nih”. Datin Maria berkata dengan suara yang tegas. Jane pun terus mematikan talian telefon kerana bosan mendengar mamanya berleter. Sakit telinganya seperti dipanah kilat.
Kemarahan Datin Maria semakin memuncak. “menyusahkan aku je si Jane nih. Nasib baik sorang je anak aku”. Ngomel Datin Maria dalam hati.  Mungkin perkara ini terjadi disebabkan penceraian mama dan papanya. Jane berasa tertekan kerana kedua orang tuanya asyik bergaduh dan bertengkar. Mama Jane seorang yang menjaga standard dan hanya sibuk bekerja sebagai tauke butik sehingga kadang-kadang membiarkan hidup Jane terkontang-kanting. Ibu bapanya juga tidak pernah mengajar berkenaan dengan agama dan Jane sendiri tidak pernah melihat orang tuanya menunaikan sembahyang apatah lagi mempraktikkannya. 
***
“Baik kelas. Masa pun hampir tamat. Ada apa-apa soalan yang kamu semua masih tidak faham lagi? Silakan tanya”. Tanya pensyarah yang mengajar mata pelajaran pendidikan moral itu.
Tiba-tiba, pintu kelas itu terkuak dengan rakus. Semua pelajar menolah ke belakang den melihat Jane baru masuk ke kelas. Dengan gaya jalan macam orang lelaki, berpakaian pun seperti lelaki dengan memakai jaket, seluar, dan berambut pendek datang ke kelas.
“Kenapa datang lambat lagi? Tidak berminat nak belajar lagi? kalau tak, berhenti sahaja belajar. Tak payah nak menyusahkan orang lain”. Terjah pensyarah tersebut kepada Jane. Sakit telinga Jane mendengarnya. Semua orang memandang ke arahnya.
“Ala En. ni suka hati saya la. Saya yang nak belajar, duit saya. Langsung tidak ada kena mengena dengan En”. balas Jane dengan kata-kata yang sombong dan terus duduk di sebelah Rina.
“Ok. Ada apa-apa soalan? Tanya lagi kepada pelajarnya kerana tidak mahu bertengkar dengan Jane yang memang tiada adabnya.
“Tidak ada, En.”. Serentak pelajarnya menjawab.
“Minggu depan kita sambung dan berjumpa lagi. Harap kamu semua dapat siapkan tugasan yang saya berikan tepat pada waktunya”.   Kata pensyarah tersebut sambil melangkah ke muka pintu.
“Kenapa awak lambat datang kelas? Tadikan saya sudah kejut Jannah sebelum pergi ke kelas”. Tanya Rina kepada Jannah selepas tamat kuliah.
“Bangun lambat. Mengantuk la”.
“Lepas ini, awak nak pergi ke mana? Saya nak ke perpustakaan cari bahan. Nak ikut?”. Tanya kepada Rina kepada Jannah lagi.
“Pergilah. Aku nak pergi lepak dengan kawan-kawan aku. Bosanlah pergi perpustakaan. Nanti carikan bahan untuk aku dan salinkan nota kau sekali. Aku nak. Kalau kau tak buat, siap!Kata Jannah dengan selamba. Dia pun berlalu begitu sahaja. Jannah tahu yang Rina akan buat apa yang dia suruh kerana Rina seorang kawan yang sangat baik dan lembut. Dia suka mengambil kesempatan terhadap Rina. Rina hanya bersabar dan berdoa agar pintu hati Jannah akan terbuka untuk berubah ke arah kebaikan. Rina juga sudah berkali-kali menasihatinya tetapi Jannah tetap tidak berubah.
“Ops...maaf. saya tidak sengaja”. Kata seorang lelaki ini kepada Jannah sambil mengutip bukunya yang bertaburan di lantai walaupun sebenarnya Jannah yang bersalah kerana hendak cepat semasa menuruni tangga.
“Sakitlah. Apa maaf-maaf!. Kau buta ke? Mata letak kat mana? Lutut? Kalau nak jalan tu, lain kali pandang kiri kanan”. Tanpa meminta maaf, Jannah memarahi lelaki tersebut  dengan menggunakan perkataan yang kasar sambil mengusap-usap bahunya.
“Cik ada cedera apa-apa ke? Nak saya bawakan ke klinik?”. Tanpa mengendehkan kata-kata Jannah sebentar tadi, lelaki tersebut tetap hormat kepada Jannah.
“Tak payah. Tunjuk baik konon”. Balas Jannah dengan membuat mimik muka menyampah. Dia pun segera berlalu dari situ kerana kawan-kawannya sudah lama menunggu di luar. Lelaki tersebut hanya memandang langkah Jannah tanpa berkata apa-apa lagi. Terdetik hati Jannah, tiba-tiba dia merasakan ada satu perasaan yang aneh muncul dalam dirinya. Dia berasa tenang melihat muka lelaki itu. ‘ish...tak kan aku jatuh cinta kat dia kot. Macam Tok Imam je. Tak nak aku’. Hatinya berkata sendirian.
“Kau ni. Asyik lambat je. Kita orang nak pergi tempat best ni. Nasib kita orang tak tinggal kan kau”. Kata Roy kepada Jannah dengan nada suara yang tidak berpuas hati.
“Ala ko ni. Relaks la. Tadi ada mamat tu langgar aku la. Apalagi jom la. Aku dah sampai ni. Bak sebatang rokok dulu. Tak sempat nak beli lah”. Balas Jannah.
“Kau ni memang, kedekut. Mak bapak kaya. Kikislah. Bila lagi. Nah! amik rokok. Lepas ni kau belanja aku”. Kata Roy dengan tersengih-sengih seperti kerang busuk. Selepas itu, mereka merempit dan terus memecut laju. Jannah membonceng motor dengan Roy. Begitulah kehidupan Jannah yang sentiasa membuang masa dan tidak melaksanakan perintah Allah.
***
Ketika itu juga, Jannah teringat bagaimana dia mula berkenalan dengan lelaki yang pernah langgar sebelum ini, iaitu Amir. Amir lah yang telah menyelamatkan dan membantu dia. Kini dia sangat menyayangi Amir.
“Ya Allah....kenapa ni? Apa terjadi nih?”. Amir melihat seorang perempuan telah pengsan di atas rumput berdekatan dengan surau. Kebetulan, Amir baru hendak pulang dari surau selepas tamat menghadiri kuliah agama. Amir berasa risau dan meminta sekumpulan perempuan membawanya ke surau tersebut. Amir terpaksa menyentuh seraut wajah itu ketika hendak menyapu air yang telah dibaca dengan kalimah suci untuk menyedarkan perempuan itu.  Perempuan itu seolah-olah sedang meracau.
“Aku kat mana ni? Siapa kau? Buat apa kat sini?”. Tanya Jannah bertubi-tubi. Kepalanya masih terasa sakit lagi akibat terlalu penat dan berjoget. Ketika Jannah bangun, dia terdengar suara orang membaca Al-Quran dengan suara yang lunak dan merdu. Dia sungguh terpegun. Amir hanya tersenyum melihat kekalutan Jannah.
“Jangan risau. Awak selamat di sini. Tadi saya jumpa awak pengsan di depan tu. Saya bawa awak ke sini”. Kata Amir dengan tata tertib. Hati Jannah berasa sejuk dan tenang ketika berada di dalam surau. Dia merasakan seolah-olah berada di dunia lain yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Kalau tidak, sebelum ini, dia selalu rasa gelisah, tidak tenang, dan berserabut. Kali ini berbeza perasaannya apatah lagi bersama dengan lelaki itu yang bersih mukanya seperti diterangi cahaya. Tenang sekali dia kala itu.
Bermula daripada peristiwa itu, Jannah mengenali lelaki tersebut. Mereka berkenalan antara satu sama lain. Barulah Jannah tahu bahawa lelaki itu sekelas dengannya dan lelaki itulah yang telah dia langgar dulu. Amir juga seorang yang kuat pegangan agamanya. Walau bagaimanapun, Amir tetap berkawan dengan Jannah.
“Kalau saya tanya satu soalan boleh? Saya harap awak tidak salah faham dengan soalan saya”. Tanya Amir berbasi-basi kepada Jannah. Ketika itu, mereka beriringan keluar dari kelas. Amir memanggil Jannah dengan menggunakan namanya walaupun Jannah menyuruh memanggil Jane. Katanya, nama Jannah lagi cantik maksudnya iaitu syurga. Syurga adalah tempat yang diidam-idamkan oleh semua orang Islam kerana tempat itulah yang paling mulia di sisi Allah.
“Boleh. Apa dia?”. Sejak daripada peristiwa itu, mereka menjadi kawan baik. Jannah berasa damai apabila bersama dengan Amir. Kawan-kawannya terutama Roy pelik dengan sikap Jannah yang tidak mahu keluar malam bersama mereka.
“Kenapa awak tidak memakai tudung?”. Tanya Amir dengan perlahan. Jannah berasa sangat terkejut dengan soalan tersebut tetapi dia tidak marah. Tiada seorang pun yang pernah berani menanya soalan sebegitu walaupun keluarganya. Jannah berasa sangat sebak kerana masih ada orang yang mengambil berat terhadap dirinya. Melihat Jannah tidak memberi respons, Amir pun menyambung kata-katanya lagi.
“Kalau awak nak tahu, menutup aurat ni wajib bagi orang Islam sama ada lelaki mahupun perempuan. Bagi aurat perempuan, bermula dari anak rambut sehingga hujung kaki kecuali muka dan tapak tangan. Sebagaimana firman Allah:

 “dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mencampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali  yang (biasa) terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (aurat), kecuali kepada suami mereka , atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putra-putra mereka, atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau para perempuan (sesama Islam) mereka, atau hamba sahaya yang mereka miliki, atau para pelayan laki-laki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan), atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang  beriman, agar kamu beruntung.                                                                                                      (surah An-Nur:31)

Dengan ini, menunjukkan menutup aurat memang sangat dituntut dalam Islam. Jika orang lain yang melihat aurat kita selain muhrim kita, maka kita akan mendapat  dosa. Keredhaan Allah juga sukar dicapai”. Panjang lebar Amir memberi nasihat. Jannah sudah berasa sebak dan air matanya gugur ke bumi juga. Dia menangis teresak-esak kerana tersentuh setiap patah perkataan yang diucapkan oleh Amir. Dia tidak pernah membuat apa-apa yang disuruh oleh Allah malah melakukan perkara mungkar. Di berasa menyesal atas perbuatan yang lepas walaupun tidak di ketahui oleh Amir. Dalam hati, Jannah memohon agar diberikan petunjuk serta kemaafan dari-Nya.
Sejak dari itu, Jannah sudah berubah. Dia selalu membaca buku-buku agama di samping dibantu oleh Rina dan Amir jika dia tidak memahami sesuatu perkara. Dia sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan dua orang sahabat ini. Dia juga telah berubah menjadi seorang muslimat yang sejati dan melakukan perkara yang di suruh oleh Allah. Tudung juga sudah menjadi teman Jannah ke mana sahaja dia pergi. Walaupun keluarganya sangat terkejut dan membantah dengan perubahan Jannah, tetapi Jannah menganggap ia sebagi satu dugaan dalam hidup. ‘cantiknya awak mengenakan tudung’. Itulah kata-kata pertama yang lahir dari hati Rina.
Tiba-tiba, jam locengnya telah berbunyi pada pukul 4.30 pagi. Lantas mematikan lamunan Jannah sejak dari mimpi tadi. Dia pun segera bangun pergi mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat. Baru sahaja selesai mengejakan solat sunat dua rakaat, batuknya menyerang lagi. Batuknya tidak henti-henti. Perit dadanya kala ini. Dia melihat ada darah mengalir keluar dari mulutnya. Pada saat ini, dia teringat perbualannya dengan doktor yang membuat rawatan.
“Sejak bila awak mula menghisap rokok? Tanya doktor itu.
“Sejak saya berumur 12 tahun. Tapi sekarang, saya sudah berhenti. Kenapa, doktor?”. Tanya Jannah dengan perasaan yang cemas.
“Paru-paru awak telah rosak. Awak menghidapi penyakit paru-paru. Paru-paru awak telah hitam akibat menghisap rokok dalam jangka yang panjang.” Terang doktor itu. Jannah sangat terkejut dan berasa sangat sebak. Perbuatannnya telah memakan dirinya.
“Berapa lama saya boleh bertahan untuk hidup?” Tanya Jannah.
“Terpulang pada keadaan”.
Di kala ini, Jannah berteleku di atas sejadah dan memanjat keredhaan-Nya. Ya Allah, jika ini takdirku untuk hidup dalam masa yang singkat, aku redha. Kau lah yang mencipta dan mematikan umatmu. Mungkin, ini lah balasan Kau terhadap dosa-dosa ku yang lalu.  Kau lah yang lebih layak menentukan panjang pendek hidupku. Kau ampunilah segala dosa-dosaku dan ahli keluargaku. Jika ini perjanjian aku dengan-Mu, aku redha. Kaulah yang berhak atas segala-galanya.

Sunday, 27 March 2011

Dunia Semalam


Oleh : Siti Azimah Binti Mohd Hanafi
Semester 4 sesi 2010/11
ISMP Bahasa Melayu, UPSI

Suara nyaring itu kedengaran lagi.memecahkan keheningan malam dan menenggelamkan merdu suara sang pungguk yang meluahkan kerinduannya kepada bulan. Sayup-sayup kedengarannya diselangi bunyi salakan anjing. Sesekali merinding bulu roma. Lolongan rintihan itu meminta simpati tetapi seperti tiada sesiapa yang peduli. Aku tertanya-tanya ‘siapakah gerangan empunya suara itu? Dari manakah datangnya? Apa punca yang menyebabkan rintihannya itu begitu mendayu sekali?’. Persoalan ini masih berlegar-legar difikiran tanpa ada sebarang jawapan. Jendela kayu di bilikku yang dahulunya sentiasaku biarkan terbuka kini tertutup rapat. Tidak berani lagi kubiarkan jendela ini ternganga selagi rintihan suara itu betul-betul lenyap.
            “ Sari”. Aku tersentak tatkala terdengar seperti ada yang memanggilku.
Aku melihat jam di dinding menunjukkan pukul 2.34 pagi. ‘Tak kanlah emak panggil aku pagi-pagi buta macam ini’ detik hatiku. Laluku biarkan. Mungkin hanya perasaan dan khayalanku sahaja. Aku teruskan pembacaan.
            “ Sari, bukalah tingkap ni “. Terkejut aku bukan kepalang.
Kali ini aku benar-benar mendengarnya. Jelas menerpa telingaku. Ada yang mengarahkan aku membuka tingkap kayu bilik. Degupan jantungku semakin kencang. Pelbagai perkara yang menakutkan yang terlintas difikiranku. Suara perempuan di pagi-pagi buta tatkala embun jantan baru berjinak-jinak untuk keluar. ‘Logikkah?’, detik hatiku. Bibirku terkumat-kamit membaca surah yang ku ingat.
            “ Sari, kamu halau hamba ya. Kalau macam tu hamba pulang dulu. hamba datang lagi tapi nanti Sari jangan halau hamba lagi ya. “ jelas suara itu.
Pemergian suara itu diiringi dengan salakan anjing yang sahut menyahut. Pucat lesi mukaku bagaikan hilang darahku buat seketika. Ketar lulutku, habis basah bajuku bermandikan peluh. Tidak pernah aku berasa seperti ini. Aku menarik selimut menutupi seluruh tubuh, berbaring secara mengiring dan telinga dan muka aku tutupi dengan bantal. Tidak rela aku mendengar lagi suara itu. Sungguh menggerunkan. Syukur kerana dia sudah pergi tetapi sudah pastinya dia akan kembali. Tiba-tiba terfikir dibenakku, suara itu, seperti pernah kudengari. Ketekutan yang membelenggu diri akhirnya membuatkan diriku terlena tanpa sedar.
            “ Assalamualaikum”. Salamku tidak berjawab.
Aku masuk ke dalam rumah. Sunyi sepi rumah ini. Aku berjalan ke dapur untuk melihat kalau-kalau emak ada disitu. ‘ Pelik, selalunya kalau aku balik dari sekolah mak pasti ada dekat rumah tetapi hari ini kelibatnya pun tidak terpandang. Ke mana emak pergi?’ Tanya hatiku.
Aku naik ke bilik di tingkat atas rumahku. Aku kuak daun pintu kamarku. Aku terkejut apabila melihat susunan bunga kemboja di atas cadar katilku yang berbentuk aksara. Aku amati ejaannya. “SARI”. Itu namaku. Dihujung huruf terakhir ada helaian daun. Aku mengambil helaian daun itu. Di dada daun tertulis suatu pesanan.
“Hamba tahu kamu yang lakukannya Sari, Hamba nampak apa yang terjadi masa kejadian tu tapi hamba tidak salahkan kamu. Sebagai gantinya Hamba hanya mahu kamu jadi sahabat hamba. Tinggal di alam yang lain bersama hamba.”
Dadaku berdegup kencang. Rasa gerun datang menerjah. Aku pasti ketika kejadian itu tiada sesiapa pun yang melihatnya. Hanya aku seorang yang tahu hal ini. ‘ Siapa yang lakukan semua ini?’. Hatiku penuh tanda tanya.
            “ Sari “. Aku terkejut.
Terasa ingin menangis. Suara itu datang lagi. Tingkap yang tidak tertutup rapat tiba-tiba terbuka luas. Aku dilanggar oleh angin yang tiba-tiba meluru masuk. Aku jatuh terduduk dan kelopak-kelopak bunga yang berbentuk huruf di atas katil habis berterbangan dan bertaburan dilantai. Tiba-tiba menjelma sesosok tubuh kecil disebelah meja solek. Tubuhku kaku tidak berganjak. Bagaikan roh yang tidak sempat keluar kembali semula ke dalam jasad dan menyedarkan aku kea lam realiti. Aku mengesot ke belakang kerana terlalu takut. Seorang wanita yang sangat cantik kini berada betul-betul dihadapanku. Senyumannya begitu manis boleh memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
            “ Kau siapa? Apa yang kau mahu dari aku?” . Aku memberanikan diri bertanya kepadanya.
            “ Hamba yang datang ke sini malam tadi. “ katanya.
Aku tidak berkata walau sepatah dan hanya membiarkan dia meneruskan kata-katanya.
            “Jangan takut Sari. Hamba ke mari bukan untuk menyakitimu. Hamba tahu apa yang Sari lakukan kelmarin. Hamba lihat semuanya. Tetapi kenapa Sari meninggalkannya begitu sahaja? Tidakkah ada rasa belas?”. Tanya wanita itu kepadaku.
Aku hanya mendiamkan diri. Aku bukannya tidak kasihan tetapi takut jika ada yang melihat perbuatanku itu dan sebab itulah aku melarikan diri.
            “Hamba tahu apa yang Sari fikirkan. Pelik? Bagaimana hamba boleh tahu kejadian itu? Sari akan tahu setelah Sari mengikut hamba pulang ke dunia hamba “. Wanita itu berkata lagi.
            “ Aku tidak mahu”. Tegasku.
            “Sudah terlambat Sari. Sari mesti ikut Hamba pulang. Ini sebagai hukuman kekejamanmu Sari.” katanya sambil tersenyum.
Tiba-tiba angin yang sangat kuat masuk ke dalam bilikku. Angin itu seumpama menarik aku ke dalamnya. Kuatnya seperti pusaran angin puting beliung. Semua barang-barangku berterbangan. Aku sempat berpaut pada besi katil tetapi pautanku tidak kemas. Aku menjerit meminta pertolongan tetapi tiada seorang pun yang mendengar jeritanku ini. Aku tidak mampu bertahan lagi. Lelehan air mataku tidak jatuh ke lantai. Titisannya berterbangan di sekelilingku. Tiba-tiba peganganku terlepas. Aku disedut oleh angin yang tidak tahu asal usulnya.
            “Mak!”. Hanya ini yang mampuku jeritkan.
Aku membiarkan diriku dimakan angin ini kerana tidak lagi mampu berbuat apa-apa.
            “Sari. Sedarlah Sari.” Terasa mukaku seperti direnjis air dingin.
Perlahan-lahan aku membuka mataku. Wanita yang sebentar tadi berada di dalam kamarku kini ada di hadapanku. Kepalaku terasa pusing dan aku cuba gagahkan diri untuk bangun.
            “Aku berada di mana ini?” soalku apabila aku tersedar bahawa aku berasa di suatu kawasan yang tidak pernah aku kunjungi sebelum ini.
Tempatnya terlalu cantik. Keindahannya sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Aku lihat tempat pembaringanku sebentar tadi hanya beralaskan rumput hijau tetapi sangat lembut. Aku begitu terpegun melihat keadaan sekeliling. Suasana disini sungguh menakjubkan. Sungai jernih yang mengalirkan air berwarna biru sebiru warna laut. Pohon-pohon sekeliling memang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Daunnya berwarna hijau keunguan. Buahnya pula kecil berbentuk bujur sirih dan berwarna kuning susu. Dibawah pohon itu pula terdapat beberapa ekor haiwan. Kelihatannya seperti kucing tetapi telinganya sedikit bulat dan mempunyai kepak. ‘Haiwan apakah ini?’ detik hatiku.
            “Sari”. Pemerhatianku terhenti apabila mendengar namaku dipanggil.
            “Begitu asyik Sari melihat tempat ini sehingga tidak sedar hamba disini”, katanya sambil tersenyum memandangku.
            “Adakah ini tempat tinggal kamu?”. Aku bertanya kepadanya tanpa rasa gentar.
Dia hanya menjawab dengan anggukan kepala sahaja. Lalu aku bertanya lagi.
            “Apa sebenarnya tujuan kamu membawa aku ke sini?”
            “Sudah hamba katakan kepada Sari tadi, hamba membawa Sari ke sini sebagai hukuman atas perbuatan Sari. Sebelum hamba meninggalkan Sari, ada perkara yang ingin hamba sampaikan dan hamba harap Sari tidak sesekali lupa akan pesanan hamba ini.” Cara wanita itu berkata-kata menimbulkan tanda tanya dalam benakku. ‘Penting sangatkah pesanan itu? Huh! Aku tidak suka hidup dengan peraturan.’. merungut aku di dalam hati.
            “Pesanan pertama, Sari boleh berjalan ke mana sahaja yang Sari mahu di dalam kawasan ini tetapi jangan sesekali melintasi jambatan seludang yang terdapat taburan bunga-bunga kemboja di sepanjang jambatan itu. Kedua, sekiranya berasa lapar, Sari boleh makan segala makanan yang ada di sini tetapi jangan sesekali sentuh apatah lagi makan buah berwarna putih yang terdapat di hujung jambatan itu. Sekiranya Sari engkar, maka akan berlaku sesuatu yang buruk kepada dirimu.”
            Aku mulai bosan dengan kata-katanya. Aku tidak gemar dengan peraturan apatah lagi yang menghalang kebebasanku.
            “Peraturan yang terakhir, jangan sekali-kali Sari mendekati pondok kecil yang tiada pintu dan berjendela satu. Ingatlah kesemua pesanan ini dan jangan kamu ingkarinya. Jika tidak, bencana pasti akan menimpa kamu.” Katanya lagi.
Tiba-tiba wanita itu ghaib tanpa sempat aku bertanyakan sebarang soalan. ‘Ah, aku tidak perlukan peraturan seperti itu. Aku sudah besar dan pandai menjaga diriku sendiri. Dia fikir aku ini masih kanak-kanak lagikah?, rungutku sendiri sambil berjalan-jalan disekitar kawasan itu.
Ajaib sungguh tempat ini. Tidak pernah pula aku mendengar wujudnya tempat yang sangat cantik seperti ini. Sepanjang pengetahuanku tiada tempat yang paling cantik melainkan syurga iaitu tempat yang menjadi idaman semua orang selepas melalui alam kematian.
Aku melangkah tanpa tahu arah tujuan. Terpukau dengan suasana yang nyaman, pohon-pohon yang merimbun, dan haiwan-haiwan jinak yang tidak pernah dilihat di duniaku sendiri. Setelah lama berjalan, aku berhenti dan ingin merehatkan diri di sebatang pohon yang rendang. Baru sahaja hendak melabuhkan punggungku, tiba-tiba aku terlihat seekor haiwan yang tampangnya seperti arnab tetapi ekornya panjang seperti ekor kucing, bulunya kuning keemasan dan matanya berwarna biru. Haiwan itu berlari-lari disekeliling seperti cuba menarik perhatianku. Apabila aku berdiam diri, ia datang menghampiriku tetapi apabila aku menghulurkan tangan untuk menyentuhnya ia lari menjauhkan diri. Laluku biarkan sahaja haiwan itu. Beberapa saat kemudian ia muncul lagi.
            “Hai, si kecil. Apa mahumu sebenarnya? Mari ke mari. Jangan takut, aku orang baik.” Aku cuba memanggil haiwan itu dekat kepadaku.
Sekali lagi aku menghulurkan tanganku. Ia datang perlahan-lahan dan akhirnya haiwan itu merelakan aku menyentuh tubuhnya. Bulunya terasa begitu lembut. Aku begitu asyik membelai-belai haiwan itu.
            “Aduh!.” Tiba-tiba haiwan itu menggigit tanganku.
Aku melihat tompokan darah yang kecil pada permulaannya menjadi lelehan darah yang banyak. Sakitnya tidak terkata.
            “Kurang ajar betul binatang ini. Hei! Mahu ke mana kau. Mari sini!”, marahku apabila melihat binatang itu melarikan diri.
Tiba-tiba marahku meledak dan sukar dikawal. Lantas aku mengambil ranting kayu yang patah lalu aku mengejarnya. Aku tidak akan biarkan ia melarikan diri setelah mencederakan diriku ini. Tanpa aku sedari, haiwan itu telah melintasi jambatan seludang dan aku terus mengejarnya dan melalui jambatan yang sama. Setibanya di tengah-tengah jambatan itu langkahku terhenti. Kakiku terasa berat. Kelopak bunga kemboja yang bertaburan di lantai jambatan tiba-tiba bergerak dan melekat di kakiku seperti ada tarikan magnet. Aku cuba melarikan diri dari situ tetapi langkahku kaku. Lelehan air mata berderai dipipi kerana aku terlalu takut. Lekatan bunga itu menyerap ke dalam kaki dan secara tiba-tiba kakiku berubah.
            “Apa semua ini? Mengapa semua ini terjadi? Tolong!” Aku merintih dan cuba untuk meminta bantuan.
Kakiku terasa kebas. Aku lihat secara perlahan-lahan kaki aku bertukar menjadi seperti akar pokok. Keras dan hodoh. Aku menangis semahu-mahunya mengenangkan keadaanku. Aku tidak lagi mampu berdiri dan akhirnya aku terduduk di atas jambatan itu. Aku cuba gagahkan diri mengesot ke belakang untuk sampai ke dataran di hujung jambatan.
            “Hei perempuan! Di mana kamu? Kenapa aku jadi seperti ini? Kembalikan aku seperti asalnya dan aku mahu pulang ke duniaku. Ke mana kau bersembunyi?”. Aku merayu sambil memanggil wanita tadi.
Kawasan itu sunyi sepi dan tiada sahutan suara. Aku tidak sanggup melihat keadaan kakiku yang hodoh ini. Aku terlena setelah penat menangis. Beberapa ketika selepas itu, aku tersedar dan berasa begitu lapar. Terdapat sebatang pohon kecil yang buahnya berwarna putih. Tiba-tiba aku teringat akan pesanan kedua daripada wanita itu. ‘Jangan makan buah yang berwarna putih’. Aku cuba mengingati pesanan itu. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu makan buah itu tetapi perutku sakit dan sangat lapar. Disini tiada makanan lain selain daripada buah yang ada di pohon kecil itu. Makanan yang banyak terdapat di seberang jambatan tetapi bagaimana aku hendak menyeberangi jambatan itu dalam keadaanku yang seperti ini.
Aku mengesotkan diri untuk bergerak ke arah pohon itu.
            “Kalau aku makan sedikit sahaja pasti tidak akan berlaku apa-apa”, ucapku sendirian.
Lalu aku memetik sebiji buah itu. Kelihatannya buah itu sungguh enak. Tanpa berfikir panjang aku memakan buah tersebut. Baru satu kunyahan sahaja aku muntahkannya semula. Lain benar rasanya mulutku ini. Buah yang aku makan tadi terlepas daripada tanganku. Mulutku tiba-tiba membesar dan membengkak.
            “Apa pula kali ini?. Tolonglah hentikan semua ini. Aku sudah tidak sanggup lagi. Kembalikan aku ke duniaku!”, jeritku sambil menangis.
Keadaannya sama seperti tadi. Masih tiada jawapan atau sahutan. Aku bingung dan tidak tahu tempat  inginku memohon pertolongan. Tatkala aku memikirkan hal itu, aku terpandang sebuah pondok kecil yang berhampiran denganku.
            “Mungkin ada orang yang sudi menolongku. Apa salahnya jika aku mencuba.” Aku mengesot ke arah rumah itu dengan susah payah.
Keadaan kakiku yang seperti ini tidak mengizinkan aku berjalan seperti biasa.
            “Ada orang di rumah tak?”, mulutku yang membengkak menyukarkan aku untuk berkata-kata.
            “Tolong saya. Ada sesiapa tak?”, aku bertanya lagi.
Aku sudah berputus asa. Sudahlah ditinggalkan bersendirian, keadaan fizikalku juga turut berubah.
            “Tolonglah. Aku mahu pulang” , aku merintih sayu.
Tidak sanggup lagi aku diuji seperti ini. Tiba-tiba aku terdengar bunyi dari dalam pondok kecil itu. Bunyi suara itu seperti seekor haiwan ganas yang sedang memerhati mangsanya. Suara yang amat menggerunkan. Aku cuba bangun dan menggagahkan diri untuk lari dari situ. Aku terjatuh kerana hilang kestabilan akibat keadaan kakiku itu. Secara tidak sengaja aku menoleh ke arah pondok kecil dan kulihat ada sepasang tangan yang berbulu terlujur keluar dari jendela pondok itu. ketika itu baru kusedar bahawa pondok yang kudekati itu ialah pondok yang hanya berjendela dan tiada pintunya. Itu ialah pondok larangan seperti yang dikatakan oleh wanita itu dan amaran kepadaku supaya tidak menghampirinya.
            “Tolong. Jangan apa-apakan aku. Aku cuma mahu meminta pertolongan.” Rayuku kepada mahkluk itu apabila kulihat tangan itu dengan kukunya yang tajam semakin menghampiriku.
            “Tolong. Jangan. Ampunkan aku. Aku tak bersalah.” Pintaku dengan juraian air mata.
Aku terlalu takut dan saat itu aku rasakan ajalku semakin hampir.
Tangan itu tidak menghiraukan rintihanku. Kakiku direntap dan dicakar hingga menampakkan tulang serta dilumuri lelehan darah pekat. Aku meraung dan mencuba sedaya upaya untuk melepaskan diri. Sakitnya tidak terhingga. Raunganku bergema disetiap tempat tetapi tiada orang yang tampil membantu. Seketika kemudian. kedengaran suara wanita itu.
            “Itu hukuman kepada orang yang tidak mahu mengikut peraturan. Kamu bongkak dan kejam Sari. Kamu yang menyebabkan haiwan kesayanganku mati. Kamu yang membunuhnya. Sekarang terimalah balasan dariku”.
Tiba-tiba tangan itu memegang tubuhku sehingga aku tidak dapat bergerak. Aku tahu, sudah sampai detik-detik terakhirku. Tangan itu mengeluarkan kukunya yang tajam dan diangkat setinggi-tingginya. Kemudian, “zzaaapppp!”.
            “Mak!”. Raunganku semakin perlahan dan aku terus tidak sedarkan diri.
Aku seperti terbang diudara. Tidak berlantaikan bumi, juga tidak bersilingkan langit. Kabus putih yang menebal membuatkan aku tidak dapat melihat keadaan disekelilingku.
            “Dimanakah aku berada sekarang? Adakah aku sudah mati?”. Aku berkata-kata sendirian.
            “Sari!”. Tiba-tiba satu suara garau menyergahku.
Dia memanggil-manggil namaku dengan keras sekali. Secara tiba-tiba, muncul ombak besar yang menghala kearahku. Aku sedaya-upaya cuba melarikan diri tetapi hilang dayaku. Akhirnya, ombak ganas itu menelanku.
            “Sari! Bangunlah. Cepat bersiap nanti kamu lambat ke sekolah pula.” Jerit suara itu.
‘Bangun? Sekolah?’. Tiba-tiba aku merasakan seperti ada yang tidak kena disini.
            “Hei! Bangunlah . Itulah kamu, nak tidur tak reti nak cuci kaki dulu. Sebelum tidur tak baca doalah ni kan?. Aku tersentak. Kepalaku terasa pusing.
Lalu aku gagahkan diri untuk duduk. Pakaian aku terasa basah. Begitu juga dengan katilku. ‘Pelik. Tak kanlah ombak tadi sampai ke dalam bilikku pula’. Aku berfikir sendiri.
            “Ha! Apa tunggu lagi ni? Cepat bangun. Kamu nak abang siram kamu dengan air lagi ya?”, katanya.
Aku terpandang baldi kecil yang dipegang oleh abang. Kini baru aku sedar, ombak yang mengejarku tadi rupanya air yang disimbah oleh abang kepadaku. Habis basah pakaian dan tempat tidur. Tidak sangka pula aku tidur sampai termimpi-mimpi. ‘Mungkin kerana aku terlanggar ayam hutan semalam.’ Aku berfikir sejenak. Kata orang-orang tua, ayam hutan itu adalah haiwan peliharaan orang  bunyian. Aku sendiri tidak tahu ayam yang aku langgar itu masih hidup atau sudah mati kerana aku meninggalkan haiwan itu begitu sahaja.
Aku mengatur langkah mengambil tuala mandi dan terus menuju ke bilik air. Kepalaku tidak berhenti daripada memikirkan kejadian yang berlaku.
‘Apa kaitannya suara yang memanggil nama aku semalam dengan  mimpi malam tadi?’. Mungkin sekadar mimpi di malam hari sahaja. Semua itu masih menjadi persoalan dan aku tinggalkan ke semuanya tanpa ada sebarang jawapan yang dapat merungkai segalanya.
           


           

Cinta Klip Kertas

Oleh  NURUL ATIQAH RAMAN
Semester 4 sesi 2010/11
ISMP Bahasa Melayu. UPSI

Pagi hening nan indah. Dalam sebuah rumah teres dua tingkat tersebut, kelihatan seorang wanita membuka telekung putih bersih dan menggantungkannya di dalam almari. Wanita tersebut menolak daun pintu dan menuju ke arah sebuah bilik.
“Zura ! Zati ! Bangun. Masuk bilik air, mandi!”. Jeritan wanita tersebut memecah keheningan pagi itu. Selesai mengejutkan dua orang anaknya, wanita tersebut melangkah keluar lalu menuruni anak tangga.
“Ibu, sejuknya air ni. Macam mana nak mandi?” jeritku dari dalam bilik air. Wanita tersebut hanya tersenyum mendengar gelagat anaknya. Fikirnya, jika dikurniakan ramai anak, mahu pecah rumahnya dengan telatah mereka kelak. Namun, dia bersyukur dikurniakan dua orang anak yang bertanggung jawab dan tidak banyak membantah kata-katanya. Selesai mandi, aku mengejutkan pula adikku yang masih melingkar dia atas katil. Aku dan Zati berkongsi katil dan bilik. Ini kerana hanya kami dua beradik sahaja dalam rumah tersebut. Lagipun, ibu sudah membiasakan kami untuk berkongsi apa-apa sahaja barangan yang dimikili semenjak dari kecil lagi. Jarak umur kami juga tidaklah jauh. Hanya dua tahun sahaja.
“Dik ! Bangun. Kita kena sekolah pagi ni” Aku menarik selimutnya. Zati yang kesejukan menarik semula selimutnya tetapi telah direntap semula olehku. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga bangun.
“Dik! Kau nak pegi mana tu? Bilik air kat sana, okey“ Aku menegur Zati yang tersalah arah menuju ke bilik air. Zati memisat-misat matanya dan terus menuju ke arah yang ditunjukkan. Setelah melihat pergerakan Zati, aku mula menyarung baju sekolah dan mula mendandan rupa. Puasku berdiri di hadapan cermin melihat depan dan belakang badan yang dibaluti dengan baju sekolah. Aku berasa sedikit kelainan kerana baru hari ini aku menyarungkan baju kurung. Sepanjang cuti, aku lebih suka memakai t-shirt dan seluar sahaja. Apabila yakin semuanya telah kemas dan rapi, aku mencapai beg sekolah dan menuruni anak tangga menuju ke arah dapur.
“Ibu masak apa pagi ni ?” Aku menyapa ibu yang sibuk menyediakan air milo di dapur.
“Nasi goreng saja kita pagi ni, Zura. Ehm, Zati dah mandi?” Zura hanya menangguk sebagai tanda menjawab pertanyaan ibunya.
“Ayah mana, bu? Dah balik masjid ke belum? Ehm, ingat nak suruh ayah hantar pagi ni. Boleh tak, bu?” sambil bertanyakan soalan kepada ibunya, Zati membuka tudung saji di atas meja.
“Zati, kalau nak sarapan tunggu ayah dan adik dulu. Sementara itu, ibu nak tukar baju dahulu.” Lalu, wanita tersebut memanjat anak tangga dan menuju ke tingkat atas rumah untuk mempersiapkan dirinya dengan pakaian kerja. Sementara menunggu kesemua ahli keluarga berkumpul untuk sarapan pagi, aku duduk di sofa rumah lalu membuka televisyen. ‘Hari ini, hari pertama persekolahanku. Hendak buat apa saja dalam kelas nanti. Mesti cikgu tak mula mengaja lagi sebab belum dapat jadual. Lagipun, mesti banyak urusan hari ini. Bayar yuran, kehadiran, kemas kelas dan pertukaran pelajar’ bisik hati kecilku. Sempat lagi aku mengelamun.
“Assalamualaikum.” Terdengar suara seorang lelaki memberi. Lantas, aku bangun dan membuka pintu rumah yang berkunci.
“Wa’alaikumsalam. Oh, ayah. Baru balik. Lamanya, ada kuliah Subuh ke?”
“Ya, ada kuliah Subuh sikit tadi. Ayah ingat nak terus balik je lepas sembahyang tadi. Tapi, ayah dengar tajuk kuliah tadi menarik pula. Itu yang lambat balik ni.” Jawab Encik Azri sambil membuka kopiahnya. 
“Ibu dengan Zati mana? Dah pukul berapa ni? Karang lambat pula kamu pergi sekolah.” Ayah mengambil tempatnya di meja makan dan bersedia untuk bersarapan.
“Ibu dengan adik tengah bersiap kat atas. Sekejap lagi turun la tu. Ehm, ayah! Nak minta tolong ayah hantarkan pergi sekolah pagi ni boleh tak?” Aku bertanya kepada ayah dalam keadaan ragu-ragu. Takut ayah menolak permintaanku.
“Boleh juga. Ayah tak kerja hari ni. Sengaja ayah amik cuti.“ Jelas Encik Azri. Lebar senyumanku mendengar jawapan daripada ayah.
“Apa senyum-senyum pagi ni. Kena sampuk ke?” sergah Zati sambil menarik kerusi di sebelahku. Terhenti lamunanku apabila disergah begitu. ‘Buat kacau je budak ni. Baru nak rasa gembira sikit dah kena potong’ kata hatiku.
“Sudah-sudah, tak baik bergaduh depan rezeki. Cepat, karang lambat pula pergi sekolah. Dah la hari ini hari pertama. Ibu tidak mahu kamu berdua lambat. Kamu perlu tunjukkan contoh yang baik kepada semua. Lagi-lagi kamu, Zura. Kamu tu pengawas. Ibu tidak mahu ada laporan yang tidak baik tentang kamu.” Panjang lebar bebelan Puan Zuraida. Sudah menjadi kebiasaan bagi keluargaku nasihat-menasihati sesama sendiri. Lebih utama kepada aku dan Zati. Mungkin kerana kami semakin meningkat remaja.
“Dengar tu Zura, Zati. Tinggi harapan ibu dengan ayah terhadap kamu berdua. Yang penting, jaga tingkah laku. Okey, semua dah ada. Dah! boleh kita sarapan. Karang lewat pula.” Seraya itu, Encik Azri membaca doa makan dan diaminkan oleh isteri dan anak-anaknya.
“Hai Zura, awal sampai. Azam baru ke tahun ni? ” Sapa Farouk. Dia merupakan rakan sekelasku sejak dari kami tingkatan satu lagi sehingga sekarang, di tingkatan empat.
“Mestilah, tahun baru azam baru. Kau duduk mana Farouk?” Aku masih terpinga-pinga mencari tempat duduk. Walaupun masih banyak lagi kerusi yang tidak berpenghuni kerana masih ramai lagi rakan sekelas yang belum sampai, aku masih terfikir-fikir sama ada mahu duduk di hadapan ataupun di belakang kelas.
“Aku duduk kat depan sana. Sebelah Azrin. Tapi dia belum datang lagi. Dia suruh aku copkan tempat dia dulu.” Kata Farouk sambil telunjukya terarah ke hadapan kelas. Setelah berfikir panjang, aku meletakkan beg di atas kerusi di tepi kelas bersebelahan dengan tingkap. ‘Tidak terlalu depan dan tidak terlalu belakang. Tengah-tengah’ fikirku. Ini memudahkan aku untuk melihat guru yang akan masuk ke kelas kelak. Setelah berpuas hati dengan tempat yang dipilih, aku mengeluarkan kain buruk dari dalam beg dan mula mengelap meja yang berhabuk. Ini kerana, sudah dua bulan kami meninggalkan sekolah kerana cuti sekolah. Ini menyebabkan kelas sedikit berhabuk dan kotor. Selesai mengelap dan membersihkan tempat duduk, aku mengambil sebatang penyapu dan mula membersihkan kelas dari hadapan kelas sehingga ke belakang kelas.
‘Rupa-rupanya, kerajinan Zura telah diperhatikan oleh seseorang jejaka kelasnya. Ini kerana, kebanyakan rakan perempuan sekelasnya yang lain rancak berbual-bual. Manakan tidak, cuti dua bulan, pasti ceritanya pun banyak. Mahu dua hari baru habis. Berbeza dengan gadis dihadapannya ini. Walaupun sibuk membersihkan kelas, masih sempat menegur dn menyapa rakannya yang lain yang masuk ke dalam kelas.’
Loceng sekolah pun berbunyi. Ini menandakan bahawa semua pelajar harus berkumpul di dataran sekolah untuk perhimpunan rasmi yang pertama. Terdengar riuh rendah suara pelajar mula keluar kelas untuk ke dataran. Dan aku, sebagai pengawas sekolah, sibuk menyuruh rakan-rakan yang lain berbaris mengikut kelas masing-masing. Walaupun ada yang tidak mahu mendengar kata tetapku jalankan tanggungjawab dengan baik. Perhimpunan berakhir pada jam sembilan pagi. Banyak yang ingin disampaikan oleh pengetua sekolah. Harapan dan impian untuk melihat anak muridnya berjaya menjadi kata-kata akhir dalam ucapannya.
Para pelajar mula kembali ke kelas masing-masing dalam barisan yang teratur. Di dalam kelas, suasananya tidak ubah seperti di pasar. Ini kerana, rakan-rakanku silih berganti bercerita tentang pengalaman cuti masing-masing. Beberapa minit kemudian, terdengar derapan kasut tumit tinggi. Semua pelajar diam serta merta. Dalam hatiku berkira-kira siapakah guru yang akan menjadi guru kelasku kelak?
Semua pelajar bangun serentak dan guru tersebut memberi salam kepada semua pelajar. Ini kerana, jawatankuasa kelas belum dilantik.  Semua pelajar menjawab serentak salam guru tersebut dan duduk apabila diarahkan. Seterusnya, guru tersebut memulakan kelas dengan  memperkenalkan dirinya sebagai  Cikgu Shamsiah dan akan menjadi guru kelas kami, Kelas 4 Azam. Tambahan, beliau akan mengajar subjek  Bahasa Melayu untuk kelas kami. Selesai sesi perkenalan, maka bermulalah sesi pelantikan ahli jawatankuasa kelas. Suasana kelas semakin riuh rendah. Masing-masing ingin mencalonkan nama rakan walaupun ada antaranya yang tidak boleh diharap.
“Saya mencadangkan Azura Raihana Azri sebagai penolong kelas.” Kata Farouk. Lamunanku tiba-tiba terhenti. Terkejut kerana namaku disebut. Terdengar riuh-rendah sorakan rakan-rakanku. Aku menjadi malu apabila Cikgu Shamsiah mengarahkan aku bangun dan memperkenalkan diri kepada rakan-rakan yang lain.

Sekali lagi, hati lelakinya tersentuh mendengar kemerduan suara perempuan itu. Dengan tutur katanya yang baik. Dimulakan dengan salam, mengucapkan syukur pada Tuhan dan berterima kasih kepada rakan-rakan. Ini menunjukkan bahawa dirinya tidak meninggi diri dan seperti muslimah pilihannya. ‘Bagus perempuan ini. Terasa ingin berkawan dengannya. Tapi, bagaimana hendak bagi tahu yang aku ingin berkawan dengannya? Aku tidak ada seorang pun rakan perempuan. Kalau tidak bagi tahu, melepas pula’ hati lelakinya berkata.
Hari Selasa dan hari Rabu berjalan seperti biasa. Pada hari Khamis juga, persekolahan berjalan seperti biasa. Jam sudah menunjukkan 1.05 minit petang. Namun, masing-masing sudah menunjukkan gelagat mahu pulang. Ada yang menguap, ada yang bersembang, sibuk menyimpan barang-barang dalam beg walaupun cikgu belum menunjukkan tanda-tanda untuk menamatkan kelas. Loceng sekolah berbunyi tepat pada masanya. Tiba-tiba, Farouk memandang ke arahku. Dia mengangkat tangan menyuruh aku tunggu sebentar. Hatiku mula berasa runsing dan tertanya-tanya. Apakah yang dimahukan oleh si Farouk ni? Kerja sekolah telah kupinjamkan untuk ditiru jadi, apalagi yang dimahukan.
“Zura, aku ada perkara yang aku nak bagutahu kau dan juga bendanya sekali. Ni, ada surat cinta untuk kau. Pesan orang ni, buka dirumah. Dan ucapan dari aku, selamat membaca.” Aku yang terpinga-pinga mengambil ‘surat’ daripada Farouk lantas membelek-belek surat tersebut. Aku mencari nama pengirimnya tetapi tidak menjumpainya.
“Farouk ! Farouk !...” Aku memandang sekeliling mencari Farouk tetapi dia sudah tiada. Hanya aku seorang sahaja di dalam kelas pada waktu itu. Akhirnya, setelah meneka-neka pengirimnya dalam hati, aku pulang ke rumah dengan hati yang gundah gulana. Setibanya di rumah, aku melakukan rutin harian seperti biasa. Mandi, solat Zohor, makan dan menonton televisyen. Langsung aku terlupa tentang surat yang diberikan oleh Farouk. Aku teringatkannya sewaktu membuka beg untuk mencari buku latihan pada malam hari.

    Salam perkenalan....
Maaf mengganggu. Saya amat meminati awak  dan harap kita dapat berkawan dengan                lebih rapat .
 








Hanya sekeping  surat yang ringkas. Tidak punya tandatangan pengirim. Tidak punya nama pengirim. Namun, yang membuatkan hatiku tertarik adalah klip kertas yang diselitkan bersama. Hanya klip kertas. Klip kertas yang biasa telah dibentuk menjadi bentuk hati dan diwarnakan dengan warna merah dan putih berselang-seli. Aku berkira-kira, siapakah empunya surat ini? Apakah yang aku lakukan padanya sehingga dia tertambat hati padaku? Fikiranku mula meneka-neka seorang demi seorang rakan lelaki sekelasku. Akhirnya, aku tertidur memikirkannya ditambah dengan keletihanku di sepanjang hari persekolahan.
Keesokan paginya, aku bangun sedikit awal dari kebiasaan. Mungkin disebabkan aku tidur awal semalam. Setelah menyiapkan kerja sekolah yang terbengkalai, aku mula memikirkan kembali surat semalam. Hanya Farouk seorang sahaja rakan karib lelaki yang aku ada dalam kelas. Hatiku menghitung. ‘Takkan Farouk menaruh hati padaku. Sudah lama kami berkawan, kenapa baru sekarang dia ingin menyatakan hasrat hatinya. Aku pula hanya menganggap dia sebagai seorang kawan. Tidak lebih dari itu. Tak mungkin kami bercinta.’ Setelah mendapat keputusan, aku memutuskan untuk membalas surat tersebut. Ini kerana, aku membalas sekadar ingin mengetahui empunya diri surat tersebut dan mahu menambah kenalan. Barangkali...
Dalam surat tersebut, aku mengizinkannya untuk berkawan sahaja denganku. Dan aku juga bertanyakan nama dan kelasnya. Dalam surat tersebut, aku sertakan bersama klip kertas yang diberikan. Walaupun menarik, tetapku pulangkan kembali kerana barang tersebut bukan milikku.
Setibanya di sekolah, aku terus berjumpa dengan Farouk yang tiba lebih awal daripadaku. Kemudian, aku memberikan surat balas kepadanya dan  bertanya serba sedikit tentang pengirim surat tersebut. Namun, jawapan yang diberikan oleh Farouk menghampakan. Alasannya, dia mahu memegang amanah pengirim dan hanya mahu menjadi ‘posmen’ sahaja.
“Farouk, jangan main-main. Siapa yang bagi sebenarnya, kalau kau tak  mahu bagitahu, aku tak nak tegur kau seminggu.” Aku mula mengugut Farouk. Tetapi, dia berlalu dengan wajah selamba bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Pembelajaran kelas berjalan seperti biasa. Namun, hatiku kadang kala terdetik dan dapat merasakan seolah-olah pergerakanku diperhatikan. Aku berlagak seperti biasa. Selepas tamat subjek terakhir, Farouk melalui tepi mejaku dan meletakkan sekeping kertas dan berlalu pergi. Seperti ‘touch n go’ lagaknya. Mungkin Farouk berpegang dengan kata-kataku yang tidak mahu bertegur dengannya dalam masa seminggu. Mungkin bagiku, kata-kata tersebut tidak akanku kotakan kerana aku amat memerlukan Farouk untuk menjawab segala persoalan ini. 
Ketika mengemas alat tulis dan buku di atas meja, lantas aku membuka kertas tersebut. Pada kali ini disertakan juga klip kertas tetapi berlainan pula warnanya, kuning berselang hitam. ‘Sangat comel’ kata hatiku.

Terima kasih kerana sudi berkawan dengan saya. Saya ini seorang yang
Pelik...
Bermata coklat...
Berkulit cerah...
Selamat mencari...

                                                             










Pelik? Bermata coklat? Berkulit cerah? Siapa? Takkan aku nak perhati seorang-seorang anak mata rakan sekelas. Ish, tak mungkin. Macam mana aku nak cari? Hatiku tertanya-tanya sepanjang perjalan ke rumah. Hari itu juga membuatkan diriku tidak lalu makan kerana memikirkan tentang hal tersebut dan juga terlalu letih sepanjang hari di sekolah di tambah pula dengan aktiviti kokurikulum di sebelah petang. 
Kewujudan klip kertas, kertas, dan surat misteri ini akhirnya diketahui juga oleh adikku. Ini kerana aku  hanya membiarkannya di atas meja dan disedari olehnya. Lebih menambat hatinya adalah klip kertas tersebut.
“Kak, cantiknya klip kertas. Tak pernah nampak pun sebelum ni. Nak satu boleh tak?” Aku yang terperanjat dengan sergahannya terus mengambil klip kertas tersebut dari tangannya.
“Mana boleh. Itu bukan akak punya. Ada orang bagi.”
“Ada orang bagi? Siapa?”
“Entah. Akak pun tak kenal”
“Ha. Pakwe ya?”
Daripada aku ingin merahsiakannya terus terbongkar segala-galanya. Aku ingin mengelakkan daripada Zati berfikir yang bukan-bukan. Tetapi, aku mengatakan kepada Zati supaya tidak memberitahu ibu. Bagiku, ini adalah perkara kecil yang dapat diselesaikan olehku sendiri. Zati memahami kata-kataku dan berjanji tidak akan memberitahu ibu.
Pada waktu rehat, aku mengadakan ‘mesyuarat tertutup’ dengan Farouk di belakang kelas. Aku membacakan ciri-ciri lelaki tersebut kepada Farouk. Di hanya tertawa mendengarkannya. Sempatku perhati anak mata Farouk. Malangnya, anak matanya berwarna hitam. Aku tidak pasti sama ada Farouk perasan perbuatanku terhadapnya ataupun tidak. Lantas, aku meminta pertolongannya sekali lagi untuk menyiasat siapakah lelaki bermata coklat di dalam kelas. Jika aku melakukannya sendiri, pasti orang tersebut perasan dan memang selama ini pun aku amat jarang bersembang dengan palajar lelaki. Akhirnya, Farouk sudi menolongku tetapi dikenakan syarat. Farouk menginginkan sekotak coklat sebagai balasan jika dia menjumpai orang tersebut. Aku menerima syaratnya dengan hati yang terbuka.  Aku mula berasa lega kerana aku tidak perlu mencari pengirim tersebut dan hanya menunggu jawapan daripada Farouk sahaja.
Ketika menuruni anak tangga, aku terdengar seseorang menjerit namaku. Disebabkan keadaan tangga yang sesak kerana waktu tersebut pelajar pulang ke rumah, maka aku mengambil keputusan untuk berhenti di aras bawah sahaja. Jeritan tersebut  adalah milik Farouk. Penat dia mengejarku dari aras tiga hingga aras satu. Tercungap-cungap dia.  Aku memberikan beberapa minit untuk dia bertenang. Rupa-rupanya, dia ingin memberikan ‘surat cinta’ kepadaku yang dikirimkan oleh pengirim misteri tersebut. Kasihan aku melihat Farouk. Sudahla terpaksa menjadi orang tengah dan menjadi penyiasat persendirian diriku, ditambah pula terpaksa mengejarku semata-mata kerana surat tersebut.


Maaf mengganggu. Kalau ada kesempatan, esok kita berjumpa di gazebo kantin selepas kelas esok.







Selepas membaca surat tersebut, aku melipatkannya kembali dan terus pulang ke rumah. Aku mula merasa gundah-gulana kerana tidak dapat mengagak siapa lelaki misteri tersebut. Adakah orangnya baik? Dari kelas manakah dia? Semakin serabut kepalaku memikirkannya.
Hari yang ditunggu-tungu pun akhirnya tiba. Setelah bersiap-siap untuk pulang dan berjumpa  lelaki tersebut, sempatku menarik Farouk untuk menemaniku bersama. Walaupun Farouk memberikan seribu satu alasan untuk tidak menemaniku, aku tetap berkeras. Ini kerana, tidak manis untuk berjumpa dengan bukan mahram berdua-duaan. Apatah lagi tidak kenal hati budinya terlebih dahulu. Hampir 15 minit menunggu, orang yang ditunggu-tunggu tidak juga muncul tiba. Farouk pula sudah mula mengadu lapar, mengantuk, panas dan macam-macam alasan lagi. Tidak sampai hatiku melihat keadaan Farouk, dengan berat hati, aku izinkannya untuk pulang. Kira-kira lima minit aku menunggu keseorangan, aku mengambil keputusan untuk pulang.
 Apa yang berlaku pada hari ini aku ceritakan semula kepada Zati. Dia menasihatiku supaya berjaga-jaga. Dia takut jika lelaki tersebut hanya mahu mempermainkan aku kesan daripada kejadian yang berlaku pada hari ini. Setelah terfikir kembali, betul juga katanya. Aku harus lebih berhati-hati dan tidak terlalu memikirkan tentang lelaki misteri tersebut.
Keesokan paginya, Farouk menemuiku dan bertanyakan sama ada aku telah berjumpa atau tidak dengan lelaki misteri itu. Aku menjawab soalannya dengan hati yang geram dan aku berpesan kepada Farouk untuk disampaikan kepada lelakiitu  yang aku tidak mahu berkawan dengan orang yang memungkiri  janji. Walaupun aku kasihan dengan Farouk, tetapi perlu juga aku bertegas dengan lelaki misteri itu. Selepas pulang daripada makmal sains, aku dapati terdapat sepucuk surat di dalam mejaku. Lantasku buka dan membacanya.
Mula-mula aku sudah nekad tidak mahu berkawan dengannya, tetapi surat tersebut telah membuka hatiku kembali. Ini kerana, lelaki tersebut mempunyai alasan yang tersendiri atas kesilapannya semalam. Aku masih memberikannya peluang. Ku terfikir bilakah surat tersebut diletakkan? Bukankah kelas kosong kerana semua pelajar pergi ke makmal. Ehm, pandai sungguh orang ini. Bijak mengambil peluang.
Minggu ini merupakan minggu yang paling sibuk di sekolah kerana sekolah mengadakan Minggu Disiplin. Oleh itu, semua pengawas wajib terlibat atas segala aktiviti yang dijalankan. Oleh itu, kerap juga aku keluar kelas kerana mengendalikan program yang banyak berlaku di dewan sekolah. Terlebih dahulu rakan sekelasku, Azfar, meminta kebenaran untuk duduk ditempatku. Ini kerana Azfar bercinta dengan rakan sebelahku, Diyana. Aku memahami kehendaknya dan mengizinkannya duduk di situ. Sempat juga aku  berpesan supaya tidak mengusik barang-barangku yang ada di dalam meja. Aku senang melihat kedua-dua pasangan tersebut. Kedua-dua mereka pandai membahagikan masa untuk belajar dan bercinta. Mereka juga adalah pelajar terbaik Penilaian Menengah Rendah (PMR) sekolah . Mereka tidak mahu bertukar sekolah atau memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana katanya, mereka selesa belajar di sekolah ini, mengenali guru-guru dengan lebih rapat dan yang lebih penting  bagi mereka belajar di mana-mana  semuanya sama sahaja. Betul juga kata mereka. Ini kerana bagiku, bukan sekolah yang menjadikan seseorang murid itu pandai, tetapi pelajar itu sendiri yang perlu berusaha untuk berjaya dan mencapai kejayaan.
Setelah seharian bekejar-kejar ke bilik disiplin dan dewan sekolah, aku akhirnya mengambil beg di dalam kelas untuk pulang ke rumah. Aku mengambil nota dan kerja sekolah daripada rakan-rakan sekelas. Bagiku, walaupun memegang jawatan sebagai pengawas, pelajaran tidak perlu dilupakan. Ini kerana seseorang pengawas perlulah menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada semua pelajar. Ibu juga pernah berpesan, “Zura, jawatan pengawas ini berat. Zura kena banyak mengorbankan masa dan tenaga. Sekarang, ramai pelajar nakal yang Zura kena bimbing. Oleh itu, ibu hendak Zura buat pilihan dengan tepat. Tetapi jawatan pengawas ini juga ada baiknya. Zura akan menjadi lebih berdisiplin daripada orang lain. Selain itu, Zura juga akan jadi pemimpin sebab, pada masa akan datang Zura tak akan tekapai-kapai jika diminta memimpin sesuat organisasi. Jangka panjangnya baik terutamanya ketika bekerja. Tetapi jangka pendeknya Zura akan rasa letih, terbeban, tekanan dan sebagainya. Jadi, fikir dahulu sebelum buat keputusan.” Kata-kata ini ku dengar ketika mula-mula aku terpilih untuk menjadi pengawas sekolah. Ketika itu usiaku masih muda, tingkatan dua. Setelah berfikir selama dua hari. Aku membuat keputusan untuk memegang jawatan tersebut. Ibu, ayah dan Zati memberikan sepenuhnya sokongan kepadaku. Sehingga ke hari ini, aku tidak pernah mengeluh memikul tanggungjawab tersebut. Ia banyak mengajarku erti kesabaran.
Selesai perhimpunan pagi, aku bergegas masuk ke dalam kelas. Aku sedikit lewat ke kelas kerana guru disiplin mengadakan ‘spot check’ rambut dan pakaian pelajar pada pagi itu. Semua pengawas diminta membantu guru disiplin untuk memeriksa para pelajar. Selesai menjalankan tugas, aku bergegas menuju ke kelas. Ketika tiba di tempatku, aku berasa satu kelaianan pada tempat dudukku. Ku lihat mejaku penuh dengan tulisan berdakwat ‘pen marker’ dan pemadam pen atau disebut juga sebagai ‘liquid paper’. Disebabkan guru masuk agak lewat pada pagi itu, aku bertanya kepada Azfar tentang hal tersebut. Lantas, Azfar datang ke tempatku dan mengaku itu perbuatannya. Tetapi, hanya yang bertulis menggunakan ‘pen marker’ sahaja. Aku memaafkan kesalahan Azfar kerana tulisan tersebut tidaklah jelas sangat.
Tetapi, yang menarik perhatianku adalah kata-kata dimejaku. Ada tertulis ayat ‘AKU GILA’ dengan tulisan ‘pen marker’. Itu aku tahu tulisan Azfar. Dan dijawab pula ‘ENGKAU TAK GILA’ dengan menggunakan ‘liquid paper’. Dalam fikiranku siapakah empunya tulisan ini. Adakah orang ini menyangkakan yang aku menulis perkataan tersebut? Dan adakah dia menyangkakan yang aku gila? Sedangkan itu semua adalah bukan kerjaku. Aku membiarkan sahaja ‘tulisan conteng’ pada mejaku kerana aku tidak kuasa untuk membersihkannya. Semakin lama, tempatku menjadi perhatian kerana mungkin dalam banyak-banyak meja di dalam kelas, mejaku sahaja yang berconteng, ditambah pula dengan tulisan ‘liquid paper’ yang menonjol kerana berwarna putih. Aku membiarkan sahaja tanggapan rakan-rakanku.
“Zura, budak tu nak jumpa kau petang ni, pukul empat, dekat depan surau.” Kata Farouk ketika berjumpaku selepas waktu rehat.
“Eh, pukul empat petang? Kalau ada kokurikulum tak apa lah. Kalau semata-mata nak jumpa dia, malaslah.” Jawabku.
“Sekarang, terpulang dekat kau. Kalau kau nak tahu siapa lelaki misteri itu, datang petang ini. Kalau tak, aku dah tak nak jadi posmen korang lagi lepas ni. Aku dah nak pencen,” seloroh Farouk. Selepas berfikir panjang, akhirnya aku bersetuju untuk berjumpa. Tetapi aku tidak keseorangan, aku mengajak Diyana menemaniku setelah meminta izin daripada Azfar.
Pada pukul 3.50 petang, aku sudah menapak keluar daripada rumah untuk berjumpa dengan Diyana terlebih dahulu dan seterusnya pergi ke sekolah. Kami tiba di sekolah tepat jam empat petang. Seperti yang dijanjikan, aku menunggu lelaki misterti tersebut di hadapan surau. Dengan cuaca matahari terik, aku menunggu lebih kurang 10 minit di situ. Aku mula merasakan yang aku dipermainkan untuk kali yang kedua. Tiba-tiba, datang sesusuk tubuh mara ke arah kami.
“Itu bukan Azrin ke?” kata Diyana. Baruku perasan. Hampirku lupa akan kehadiran Azrin di dalam kelasku. Ini kerana dia merupakan seorang pelajar yang sangat pendiam. Di tambah pula dengan aku tidak pernah berziarah ke tempat Farouk.
“Assalamualaikum. Zura kan? Kenapa awak hendak berjumpa dengan saya?” Aku terpinga-pinga akan soalannya.
“ Wa’alaikumsalam. Saya Zura. Eh, bukan awak ke yang hendak berjumpa dengan saya?” Aku bertanyakan pula persoalanku kepadanya.
“ Farouk kata awak nak jumpa saya.”
“ Farouk pun kata macam tu juga dekat saya”.
Kami berdua mula terdiam. Akhirnya, Diyana menyampuk dan mengatakan ini semua pastinya rancangan Farouk. Masing-masing ketawa akan hal yang terjadi.
Maka, bermula dari situlah perkanalan kami bermula. Akhirnya, Azrin mangaku yang dia adalah lelaki misteri tersebut dan meminta maaf terhadap semua perkara yang berlaku. Niatnya hanya ingin berkenalan sahaja. Katanya lagi ini merupakan kali pertama dia berkawan dengan perempuan. Maka, aku menerimanya dengan hati terbuka.
Perkenalanku dengan lelaki tersebut aku ceritakan kepada ibu dan ayah. Mereka membenarkan kami berkawan asalkan tidak mengganggu pelajaran. Ibu dan ayah sangat memahami keadaanku kerana ibu seorang guru kaunseling dan ayah pula adalah seorang kaunselor di pejabat kerajaan. Mereka menerangkan bahawa, zaman remajalah  bermulanya peningkatan hormon. Oleh itu, suka sesama berlainan jantina adalah normal. Asalkan tidak melampaui batas agama dan tidak  melakukan perkara diluar jangkaan mereka. Aku berpegang dengan kata-kata ibu dan ayah.
Zati pun mula mengenali Azrin setelah aku menceritakan mengenai Azrin kepadanya. Zati mengatakan dia suka dengan Azrin kerana dia seorang yang berani dan kreatif. Aku bersetuju dengan kata-katanya. Persahabatanku dengan Azrin hanya berkisar tentang pelajaran sahaja. Tidak lebih dari itu. Kalau lebih pun hanya bersembang-sembang tentang isu semasa, kawan-kawan sekelas dan keluarga. Janjiku pada Farouk juga tidak ku lupakan. Sekotak coklat kubelikan untuknya kerana bersusah payah menjadi orang tengah selain banyak membantuku dalam pelajaran. Aku masih teringat kata-kata Farouk kepadaku.
“Zura, perkenalan korang ni unik la. Lebih-lebih lagi pakai surat. Macam orang dulu-dulu. Tapi yang aku tertarik adalah klip kertas tu. Cantik. Aku rasa macam nak je amik klip kertas tu sebelum bagi surat tu kat engkau. Tapi, takkan aku nak amik. Nanti Azrin kata aku pencuri pula. Ehm, boleh tak aku simbolikkan persahabatan korang ni?” Terang Farouk dengan panjang lebar.
“ Ada-ada je kau ni. Ha, apa dia?” Aku mula rasa tertarik.
“ Cinta Klip Kertas...” Farouk pun berlalu sambil tersenyum dan aku pun terpaku sambil memikirkan kata-katanya.