I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, 28 March 2011

Simpulan Bahasa


Abang angkat 
Maksud: Lelaki yang lebih tua daripada seseorang yang tidak mempunyai pertalian keluarga tetapi dijadikan seperti abang sendiri 

Abang ipar 
Maksud: Abang kepada isteri atau suami seseorang 

Abang kandung 
Maksud: Abang seibu dan sebapa 

Abu jahal 
Maksud: Orang yang suka menghalangi usaha yang baik 

Abu nawas 
Maksud; Orang yang bijak melepaskan diri 

Ada angin 
Maksud: Mempunyai perasaan yang tertentu mengikut keadaan 

Ada hajat 
Maksud: Mempunyai keinginan atau maksud 

Ada hati 
Maksud: Mempunyai keinginan terhadap sesuatu atau seseorang 

Ada jalan 
Maksud: Cara untuk melakukan sesuatu 

Air muka 
Maksud: Wajah atau rupa seseorang 

Akal kancil 
Maksud: Orang yang cerdik dan pandai menipu 

Alas cakap 
Maksud: Kata pendahuluan sebelum perundingan atau perbincangan dijalankan 

Alas perut 
Maksud: Makan sedikit untuk menghilangkan rasa lapar 

Ambil angin 
Maksud: Bersiar-siar 

Ambil hati 
Maksud: Melakukan sesuatu untuk menggembirakan hati orang lain 

Anak bapa 
Maksud: Anak lelaki kesayangan sesebuah keluarga 

Anak buah 
Maksud: Orang yang di bawah jagaan seorang ketua 

Anak buangan 
Maksud: Orang yang tersingkir daripada sesebuah keluarga 

Anak dayung 
Maksud: Orang yang mendayung perahu 

Anak emas 
Maksud: Orang atau anak kesayangan 

Angin-angin 
Maksud: Khabar yang belum pasti

Angin berkisar 
Maksud: Berpaling tadah 

Angin gila 
Maksud: Kelakuan yang tidak tentu arah 

Angin lalu 
Maksud: Khabar yang tidak tentu benar atau salahnya 

Angkat alis 
Maksud: Menunjukkan isyarat / tanda hairan 

Angkat bahu 
Maksud: Menyatakan tidak tahu 

Angkat diri 
Maksud: Sombong 

Angkat suara 
Maksud: Meninggikan suara 

Asam garam 
Maksud: Pengalaman hidup 

Atas angin 
Maksud: Negeri-negeri di Timur Tengah dan Eropah 

Atas pagar 
Maksud: Tidak menyebelahi mana-mana pihak 

Ayam tambatan 
Maksud: Orang harapan dalam sesuatu pertandingan atau perlawanan 

Ajak-ajak ayam 
Maksud: Tidak sungguh-sungguh mempelawa 

Bahasa ibunda 
Maksud: Bahasa sendiri 

Bahasa dalam 
Maksud: Bahasa yang digunakan oleh raja-raja 

Bangkai bernyawa
Maksud: Orang yang tidak membawa untung 

Banyak akal 
Maksud: Banyak helah 

Banyak lemak 
Maksud: Kelakuan yang mengada-ngada 

Banyak mulut 
Maksud: Suka bercakap banyak 

Batu api 
Maksud: Orang yang menghasut dua pihak yang lain sehingga bergaduh 

Batu loncatan 
Maksud: Sesuatu yang digunakan untuk mencapai sesuatu tujuan 

Bau-bau bacang 
Maksud: Tali persaudaraan yang jauh 

Bawa berunding 
Maksud: Diajak bermuafakat 

Bawa bermenung 
Maksud: Memikirkan masak-masak 

Bawa bersemuka 
Maksud: Bawa bertemu muka; berunding 

Bawa hati 
Maksud: Perasaan kecewa 

Bawa kaki 
Maksud: Berjalan tanpa tujuan 

Bawa ke tengah 
Maksud: Bawa ke muka pengadilan




Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud:
Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang.

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah.

Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan.

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : Kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha.

Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Biar mati anak, jangan mati adat
Maksud : Orang yang kuat perpegang pada adat.

Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Mencari Jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

Memerah Otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

Berbesar Hati
Maksud : Gembira.

Anak Buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

Tuan Rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara

Batu Penghalang
Maksud : Halangan

Darah daging
Maksud: Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

Meninggi diri
Maksud : Sombong

Bermuka Dua
Maksud : Tidak jujur.

Baik Hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

Tulang Belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

Terang Hati
Maksud : Lekas pandai.

Rendah Hati
Maksud : Tidak sombong

Murah Hati
Maksud : Pemurah.

Tangan Kosong
Maksud : Hampa.

Lintah Darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

Anak Dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

Bidalan


Ada gula ada semut 
Maksud : Orang akan bertumpu di tempat yang senang mencari rezeki. 

Ada sampan hendak berenang 
Maksud : Sengaja bersusah payah sedangkan kemudahan ada. 

Air dicincang tidak akan putus 
Maksud : Perbalahan antara adik-beradik tidak akan sampai bercerai-berai. 

Anak harimau diajar makan daging 
Maksud : Orang yang sedia zalim digalakkan pula melakukan kejahatan. 

Anjing menyalak bukit tidak akan runtuh 
Maksud : Orang yang baik walaupun dicela tidak akan mendatangkan kesan terhadapnya. 

Anjing ditepuk menjungkit ekor 
Maksud : Orang yang miskin atau hina apabila dihormati akan menjadi sombong. 

Belakang parang kalau diasah lagikan tajam 
Maksud : Orang yang bodoh sekalipun jika diajar akan pandai juga. 

Berkerat rotan berpatah arang 
Maksud : Perselisihan yang tidak akan dapat berbaik-baik sernula.

Biar titik jangan tumpah 
Maksud : Menanggung kerugian kecil adalah lebih baik daripada menanggung kerugian yang besar/ bankrap. 

Bunga disunting perdu dibuang 
Maksud : Orang yang hanya menyayangi isterinya tetapi memusuhi mentuanya. 

Campak baju nampak kurap 
Maksud : Mendedahkan keburukan diri sendiri. 

Dalam dua, tengah tiga 
Maksud : Tidak jujur. 

Dalam kilat ada kilau 
Maksud : Terdapat makna yang tersembunyi dalam sesuatu percakapan. 

Dalam rumah buat rumah 
Maksud : Mencari keuntungan atas modal orang lain. 

Darah baru setampuk pinang 
Maksud : Masih terlalu muda (belum berpengalaman). 

Enggang lalu ranting patah 
Maksud : Seseorang yang mendapat kecelakaan kerana kebetulan lalu atau berada di tempat kejadian. 

Gagak bersuara murai 
Maksud : Seseorang yang bersuara merdu dan berbudi bahasa walaupun tidak cantik. 

Gayung bersambut, kata berjawab 
Maksud : Menjawab pertanyaan dengan cepat. 

Geruh tidak mencium bau 
Maksud : Kemalangan yang tidak diketahui terlebih dahulu. 

Hangat-hangat tahi ayam 
Maksud : Membuat kerja bersungguh-sungguh pada peringkat awal sahaja kemudian beransur-ansur malas. 

Hari tak selamanya panas 
Maksud : Untung atau rugi itu saling berkait atau kebahagiaan itu tidak selalunya berpanjangan. 

Jauh menyalak kuat, dekat mencawat ekor 
Maksud : Berani bercakap besar di belakang sahaja sedangkan takut jika berhadapan. 

Karam berdua, basah seorang 
Maksud : Dua orang yang melakukan kesalahan tetapi seorang sahaja yang dihukum.

Lempar batu sembunyi tangan 
Maksud : Berpura-pura tidak tahu selepas melakukan sesuatu kesalahan. 

Marahkan pijat, kelambu dibakar 
Maksud : Disebabkan marah kerana perkara kecil, seseorang itu melibatkan perkara yang besar dan merugikan diri sendiri. 

Naga ditelan ular lidi 
Maksud : Anak orang bangsawan berkahwin dengan anak orang biasa. 

Orang karam di laut, kita karam di darat 
Maksud : Mendapat kesusahan tidak pada tempatnya. 

Orang mandi berselam, kita mandi bertimba 
Maksud : Orang lain mendapat untung yang berlipat kali ganda sedangkan kita hanya untung sedikit. 

Ringan tulang, berat perut 
Maksud : Orang yang rajin bekerja akan beroleh banyak rezeki 

Rumah sudah pahat berbunyi 
Maksud : Mengemukakan pendapat sesudah sesuatu perkara itu diputuskan. 

Tiada rotan, akar pun berguna 
Maksud : Kalau tiada yang lebih baik, pengganti yang sedia ada/ kurang baik pun boleh digunakan.

Usaha Memupuk Semangat Patriotik Dalam Kalangan Masyarakat


Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri yang menyebabkan mereka tidak menghiraukan perkara lain. Pada pendapat mereka, perkara yang penting dalam hidup ialah mereka perlu berusaha untuk mencari kekayaan dan hendak mencari wang untuk menambahkan pendapatan semata-mata. Oleh itu, mereka tidak menitikberatkan semangat patriotik dan tidak tidak mempedulikan sambutan hari kebangsaan, contohnya anggota masyarakat kita tidak mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dijalankan. Jadi, kita berharap agar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

        Sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh dijalankan untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita. Satu daripada caranya adalah dengan memberikan penekanan tentang proses pemupukan semangat patriotik dari bangku sekolah lagi. Perkara ini membolehkan semangat patriotik sebati dalam diri pelajar seperti kata peribahasa Melayu, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa. Tambahan pula, amalan ini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.

        Cara lain yang boleh dijalankan adalah dengan membuat pengubahsuaian dan memberikan penekanan tentang aspek semangat patriotik ini dalam kurikulum di sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Sekiranya perkara ini dilakukan, murid-murid akan memahami dan menghayati semangat patriotik kerana aspek tersebut dipelajari dalam mata pelajaran tertentu. Dengan perkataan lain, perkara itu akan dipelajari secara formal di dalam kelas, diuji dalam peperiksaan dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Oleh hal yang demikian, semangat patriotik itu akan terus subur dalam sanubari murid-murid hinggalah selepas mereka menamatkan persekolahan atau pendidikan mereka di institusi pengajian tinggi.

        Pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen secara besar-besaran melalui media massa. Kempen-kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara kita Oleh itu, Kementerian Penerangan Malaysia, di samping media elektronik seperti televisyen dan radio memang berkesan untuk menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat. Dengan perkataan lain, televisyen dan radio hendaklah menyiarkan rancangan atau program yang dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Selain itu media elektronik itu juga hendaklah menayangkan filem seperti “Bukit Kepong”, “Paloh”, dan drama-drama yang berkaitan dengan semangat cinta akan negara.

        Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab pula perlulah menjalankan aktiviti yang bersesuaian dengan usaha untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat agar dapat memupuk semangat ini. Aktiviti tersebut boleh dijalankan di kampung-kampung dan juga di kawasan perumahan. Oleh itu, aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaan pada peringkat taman perumahan dan kampung perlulah digalakkan. Di samping itu, Jabatan Penyiaran atau stesen televisyen juga perlu mengadakan forum tentang semangat patriotik dengan menjemput tokoh-tokoh akademik daripada pelbagai bangsa dan juga tokoh masyarakat yang memperjuangkan semangat kebangsaan suatu masa dahulu. Aktiviti tersebut bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di negara kita.

        Semangat patriotik juga dapat dipupuk melalui contoh dan teladan daripada pemimpin-pemimpin negara dan pemimpin masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Dengan cara itu, anggota masyarakat akan mencontohi pemimpin-pemimpin mereka yang memiliki semangat patiotik yang tinggi. Para pemimpin perlulah selalu mengingatkan dan menekankan kepentingan menghargai kemerdekaan yang telah dicapai hasil perjuangan dan titik peluh pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu dan menghayatinya dengan sepenuh hati. Hal ini penting kerana, kemerdekaan yang dinikmati ini hendaklah dihayati, dijaga dan dikekalkan sampai bila-bila. Sekiranya perkara ini tidak dititikberatkan oleh semua orang sudah pasti kemerdekaan yang dinikmati sukar untuk dipertahankan dan tidak tidak akan memberi makna lagi kepada generasi yang akan datang.

        Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memupuk semangat patriotik perlulah dijalankan sepanjang masa tanpa henti. Hal ini demikian kerana, semangat patriotik ini penting untuk melahirkan warganegara yang cinta akan negaranya dan pasti akan menjadi individu yang berguna kepada bangsa, agama dan negaranya sendiri. Individu yang memiliki semangat patriotik yang tinggi juga akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan negaranya agar mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat, setanding dengan negara-negara maju yang lain. Skiranya semangat patriotik tidak dapat dipupuk dalam kalangan remaja, pastilah mereka tidak ada perasaan cinta akan negara dan menyebabkan mereka hilang jati diri. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan masyarakat.


Sumber: http://anelyza.blogspot.com/2009/09/usaha-usaha-untuk-meningkatkan-semangat.html


Sunday, 27 March 2011

Jenis Fakta atau rencana

-        Ditulis dalam bentuk format biasa
-       Karangan ini memerlukan kita mempunyai pengetahuan yang luas.
-       Jadi perlu banyak membaca buku, majalah, surat khabar dan sebagainya.
-     Fahamkan kehendak soalan. Contohnya karangan yang bertajuk  ”Tuliskan apa yang kamu tahu tentang burung.
-       Karangan ini mungkin disalah tasirkan sebagai burung yang murid sukai atau burung peliharaan murid.
-       Pastikan anda benar-benar tahu dan mempunyai fakta yang betul tentang tajuk.
-       Senaraikan fakta-fakta / isi yang diketahui dan susun mengikut kepentingannya.
-       Setelah mengemukakan pengenalan, tulis bahagian isi
-        Pastikan anda dapat menyediakan 4 isi.
-       Kamu harus mampu mengembangkan sesuatu isi.
-      Setiap isi haruslah dihuraikan berserta contoh yang sesuai  dengan menggunakan ayat dan kata yang mudah difahami. Jika boleh sertakan kesannya.
-        Masukkan perangkaan atau peristiwa untuk menguatkan kenyataan.
-        Setelah siap mengembangkan isi kemukakan bahagian penutup.
-        Gunakan bahasa yang tepat, usah leret- leret.

Jenis Catatan Diari


Ia merupakan karangan yang mencatatkan kegiatan harian atau peristiwa penting yang berlaku kepada seseorang.

Tarikh, hari atau masa peristiwa berlaku hendaklah dinyatakan. Ini berpandukan kepada soalan. Lihat contoh soalan dibawah :

Persatuan anda telah membuat lawatan ke Kuala Lumpur. Anda diminta menyediakan catatan mengenai lawatan itu.

Contoh:

1.   Lawatan ke Kuala Lumpur biasanya mengambil masa beberapa hari. Oleh itu, format catatan mesti ditulis   dalam hari.
2.   Kamu menyambut ketibaan Hari Raya Puasa dengan suasana meriah. Tuliskan cacatan diari kamu berkaitan kemeriahan sambutan hari raya tersebut. Berdasarkan soalan ini format catatan ialah masa atau jam.

Catatan hendaklah ringkas, tepat dan padat.

Tulis catatan mengikut urutan peristiwa.

Ayat-ayat seharusnya pendek dan mudah difahami.

Jenis Dialog/ Temu Ramah/ Perbualan/ Wawancara

Karangan Jenis Dialog / Temu Ramah / Perbualan / Wawancara

      · terbahagi kepada dua jenis

i. dialog dan perbualan (lebih berkisar kepada persoalan biasa seperti bertanya khabar dan perbualan menerusi telefon.
ii. wawancara dan temu ramah  (lebih kepada perbualan rasmi, pertanyaan kepada orang yang lebih dihormati, atau ingin tahu tahu sesuatu perkara).

  · seperti jenis karangan lain, karangan jenis ini juga mempunyai tajuk / topik yang utama
  · setiap karangan ini mempunyai sekurang-kurangnya dua watak atau lebih
  · sebelum memulakan karangan boleh disertakan keterangan tetapi janganlah terlalu panjang.

Lihat contoh :
Abu diminta oleh guru kelas menemu ramah Guru Besar sebe lum beliau bersara. Hasil temu ramah itu akan dimuatkan di dalam majalah sekolah. Berikut merupakan hasil temu ramah tersebut.

Format karangan

Nama watak ditulis selari di sebelah kiri
selepas nama watak dibubuh tanda titik bertindih ( : ) juga dalam keadaan selari
contoh :
Nama A    :   Assalamualaikum, Makcik.
Nama B    :   Waalaikummussalam
Nama A    :   Apa khabar Makcik ?
Nama B    :

· Mulakan perbualan dengan salam sejahtera
· Anda perlu menggunakan kata ganti nama diri yang sesua i. Jika orang yang dibawa berbual itu
berumur gunakan panggilan ”Encik…, ”Tuan…, ataupun ”Makcik…
· Pastikan anda tahu tentang hal atau perkara yang akan kita tulis untuk bahan temuramah / dialog.
· Boleh gunakan bahasa kiasan atau peribahasa dan kata singkatan seperti  ’tak“ , ’dah“
· soalan yang dikemukakan adalah ringkas , tidak rumit dan berbelit -belit. Dalam dialog itu, kedua-dua          pihak harus bertanya, memberi pendapat atau pandangan.
· Jawapan yang diberi kepada soalan adalah panjang lebar
· Elakkan penggunaan soalan yang cuma memerlukan jawapan  ”ya… atau ”tidak….
· Soalan-soalan disusun dengan baik supaya terus berkesinambungan.
· Kawal jumlah perkataan yang digunakan ( lebih kurang 80 patah perkataan )
· Tanda baca yang digunakan harus sesuai dengan nada percakapan. Hati -hati dengan ayat tanya kerana ia berakhir dengan tanda tanya. ( ? )
· Mesti di tulis mengikut format ( terpesong format , tolak 3 markah )
· Soalan yang diikuti dengan jawapan lengkap  di beri markah penuh
· Akhiri perbualan dengan mengucapkan terima kasih kepada yang ditemuramah.

Karangan Jenis Biografi

Karangan jenis ini mengisahkan perihal riwayat hidup orang lain dari mula hingga ke akhir antaranya:
-          Tokoh-tokoh sejarah
-          Pemimpin tanah air
-          Tokoh sukan dan lain-lain

-          Dalam menulis karangan jenis ini, aspek latar belakang, riwayat hidup, pendidikan, sumbangan, kejayaan dan jasa-jasa seseorang itu diambilkira sebagai isi karangan.
-          Anda harus tahu benar tentang watak yang hendak ditulis itu dari awal hingga ke akhir.
-          Kamu tidak digalakkan menulis perkara-perkara yang sensitif sehingga boleh menimbulkan keaiban atau menjatuhkan maruah orang yang ditulis.




Karangan Jenis Bergambar


    Karangan Bergambar Tunggal

-         Karangan yang hendak ditulis itu hendaklah berpandukan gambar yang telah disediakan.
-         Setiap gambar perlu dipastikan bila , di mana dan waktu supaya penulisan lebih jelas.
-         Perlu meneliti seluruh gambar dengan mendalam.
-         Sewaktu menulis, pastikan diri terlibat di dalam di dalam gambar, bukan sebagai pencerita dari luar atau dijadikan karangan penerangan.
-         Ceritakan peristiwa yang ada di dalam gambar tersebut dalam bentuk karangan.

    Karangan Bergambar Bersiri

-         Karangan hendak berpandukan gambar-gambar yang telah disediakan.
-         Sebaik-baiknya jadikan diri kamu terlibat sama dengan cerita yang hendak ditulis.
-         Setiap perenggan berdasarkan sekeping gambar.
-         Karangan yang hendak ditulis itu hendaklah berpandukan peristiwa –peristiwa yang terdapat di dalam gambar-gambar tersebut mengikut urutan atau susunan.
-         Boleh menyertakan tajuk , tetapi tidak menjadi kemestian.

Isu Penderaan Kanak-kanak

.           Anak-anak merupakan anugerah Allah yang amat berharga kepada setiap pasangan suami isteri. Mereka merupakan penyambung zuriat dan pewaris sesebuah keluarga. Adanya anak justeru bertambahlah rezeki yang Allah berikan kepada setiap pasangan yang telah berkahwin. Mereka juga sebagai penghibur di dalam rumah tangga dengan hilai tawa dan tangisan yang senantiasa memerlukan belaian kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Namun, sekarang kita telah mendengar pelbagai keg penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang telah disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.


............Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini. Antaranya ialah, bagi ibu bapa yang bekerja mungkin mereka menghadapi tekanan di tempat kerja. Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak- anak yang tidak berdosa. Tabiat anak-anak yang masih kecil memang stika merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa. Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakanyang tidak masuk akal. Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya. Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.


............Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu. Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak. Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka. Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan. Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Mintalah pertolongandaripada Allah supaya hati kita lebih tenang.


............Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih barn. Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.


............Selain itu, faktor paling utama berlakunya masalah penderaan anak-anak ini ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga. Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga anak-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.


............Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera. Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen “Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka. Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup pasti tidak bermakna. Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita. Jadi, dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kespenderaan anak-anak.


............Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yangmendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.


............Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka aka:n lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.

............Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.

Faktor Menggalakkan Pelancongan di Malaysia

           Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.

............Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

............Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

............Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

.............Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.

.............Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.

.............Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.